SUKMA 2024: Gandingan adik-beradik tambah koleksi emas kem terjun Sarawak
Bernama
Ogos 20, 2024 21:51 MYT
Ogos 20, 2024 21:51 MYT
KUCHING: Gandingan adik-adik beradik Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin-Dayang Nursharzyra meneruskan penguasaan Sarawak di kolam renang apabila menambah koleksi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Awang Sharzan, 19, dan Dayang Nursharzyra, 17, yang membuat penampilan pertama di pentas SUKMA, meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform seirama campuran selepas mengumpul 227.13 mata di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini.
Wakil Wilayah Persekutuan Celeste Lee Qin-Choo Jin Wei dan Terengganu Muhamad Haziq Muizzudin Mohd Asri-Uzlifatil Jannah Ashraf masing-masing mengutip 209.04 dan 201.81 mata untuk membawa pulang perak dan gangsa.
Dayang Nursharzyra membuktikan beliau tiada tandingan apabila membawa pulang pingat emas acara 1m papan anjal wanita selepas mengumpul 232.10 mata, meninggalkan Uzlifatil Jannah di tempat kedua dengan 186.60 mata dan Teng Hui Xue dari Wilayah Persekutuan ketiga dengan 171.95 mata.
Tuan rumah terus mendominasi kolam terjun apabila meraih emas kelima apabila Elvis Priestly Clement-Enrique Maccartney Harold mengungguli acara 10m platform seirama lelaki dengan 384.72 mata, 100 mata di hadapan pemenang pingat perak dan gangsa.
Wakil Sabah Julfaddli Jali-Muhammad Anilrian Normatr Abdullah (282.12) untuk perak dan gangsa dimenangi Donald Chen Da Win-Choo Jin Wei (271.53) dari Wilayah Persekutuan.
Dayang Nursharzyra ketika ditemui berkata keserasian dan mempunyai gaya hidup hampir sama dengan abangnya memudahkan mereka untuk bergandingan hingga menghasilkan pingat emas.
Beliau juga mengakui sangat gembira dapat mengecap kejayaan setelah sekian lama, selepas gagal naik podium pada penampilan pertamanya di SUKMA 2018 di Perak, diikuti edisi 2020 yang dibatalkan akibat pandemik COVID-19 manakala edisi di Kuala Lumpur pada 2022, acara terjun tidak dipertandingkan kerana tidak memenuhi kriteria penyertaan minimum.
"Saya sangat bangga dengan pencapaian ini kerana kami berdua gigih berlatih setiap hari. Acara seirama ini tidak mudah tapi keserasian dengan abang menjadikan ia lebih mudah meraih kemenangan sebab kami ada gaya hidup, cara berfikir dan dapat memahami serta menyesuaikan diri dengan baik antara satu sama lain," kata atlet pelapis negara ini.
Awang Sharzan Nasrin walaupun banyak menghabiskan masa di kolam renang dan berkongsi minat sama, namun mereka tidak bercakap tentang sukan di rumah.
"Kami mungkin hanya bercakap mengenai terjun 20 peratus, tetapi gaya hidup sama telah membantu kami menjadi lebih baik. Sokongan keluarga benar-benar membantu kami menjadi atlet," katanya.
Bukan hanya Awang Sharzan Nasrin dan Dayang Nursharzyra tapi abang yang lebih tua Awang Mohammad Sharszan dan seorang adik lelaki turut menceburi acara terjun.
Bagaimanapun, Awang Mohammad Sharszan terpaksa meninggalkan acara terjun kerana alahan terhadap klorin dan beralih ke acara boling padang yang menyaksikan beliau meraih pingat perak acara pairs campuran bersama Nur Syurhaidah Asaral.
Sarawak menyapu dua pingat emas ditawarkan pada hari pertama acara terjun membuka tirai semalam menerusi Elvis dalam acara papan anjal lelaki dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi menerusi 10m platform seirama wanita.
-- BERNAMA