Sukma 2024: Bukan hanya sukan, tonjolkan semangat, budaya tempatan - Timbalan Menteri Sarawak

Bernama
Julai 17, 2024 20:58 MYT
Abdullah berkata, temasya itu juga dapat menjadi medan untuk mengenali masyarakat dan tempat-tempat menarik di Sarawak. - Bernama
KUCHING: Semangat dan kebudayaan rakyat tempatan antara yang boleh diketengahkan media sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini, selain laporan acara sukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata temasya itu juga dapat menjadi medan untuk mengenali masyarakat dan tempat-tempat menarik di Sarawak.
"Sukma kali ini ada kelainan kerana acara-acaranya akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak dan bukannya di Kuching sahaja. Jadi ambillah peluang ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sarawak dan rakyatnya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri taklimat Jawatankuasa Promosi Media, Publisiti, Seranta, Siaraya, Pencetakan dan Kewartawanan Sukma 2024 di sini hari ini.
Selain Bahagian Kuching, pertandingan akan turut berlangsung di Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Abdullah berkata pelbagai aktiviti sampingan akan diadakan di beberapa lokasi pertandingan yang bakal menyajikan pelbagai produk serta kebudayaan masyarakat tempatan.
Menurutnya aktiviti sampingan seperti pembuatan makanan tempatan, persembahan kebudayaan dan sebagainya itu boleh dijadikan bahan bagi pelaporan berita oleh pengamal media sama ada dalam bentuk penulisan mahupun visual.
Beliau juga berharap pemberitaan sepanjang Sukma tersebut akan turut menceritakan tentang pihak atau individu yang 'bekerja di sebalik tabir' atau secara tidak langsung dalam menjayakan penganjuran temasya sukan itu.
"Mungkin pekerja stadium yang bertungkus lumus untuk memastikan keadaan lokasi acara sentiasa bersih dan sedia digunakan boleh dijadikan cerita. Ini menunjukkan mereka turut berkongsi kebanggaan Sarawak menjadi tuan rumah Sukma," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap jawatankuasa itu akan terus menerajui gerak kerja yang cemerlang sepanjang persiapan dan penganjuran Sukma 2024, susulan temasya berkenaan boleh menjadi penanda aras keupayaan Sarawak dalam menjadi tuan rumah bagi karnival sukan lebih besar.
"Sukma ini boleh menjadi penanda aras dalam usaha kita mengenal pasti cabaran-cabaran sekiranya kita diberi tanggungjawab untuk menganjurkan Sukan SEA pada 2027," tambahnya.
-- BERNAMA
#Sukan Malaysia #SUKMA #Sarawak #budaya #sukan #Abdullah Saidol
;