SUKMA 2024: Berbasikal terus jadi lubuk emas Terengganu

Bernama
Ogos 16, 2024 08:20 MYT
Muhammad Iqbal Daniel meraikan kemenangannya selepas melepasi garisan penamat pada acara lepas beramai-ramai individu Lelaki pada temasya SUKMA Sarawak 2024 di Kampung Bukit Asal, Kuching, 15 Ogos 2024. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini terus menjadi 'lubuk emas' buat skuad berbasikal Terengganu apabila menambah dua lagi pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 semalam.
Dua emas itu diperoleh daripada Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi dalam kategori individu yang pada masa sama membantu acara berpasukan.
Kontinjen Terengganu menambah satu lagi koleksi pingat emas menerusi Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan dalam acara tenpin boling lelaki selepas melakukan 1,375 jatuhan pin di Megalanes Sarawak, manakala wakil tuan rumah Nur Hazirah Ramli mengungguli kategori wanita selepas mencatatkan 1,261 jatuhan pin.
Pencapaian itu sekali gus menyaksikan Terengganu melonjak ke kedudukan teratas carta kutipan pingat SUKMA dengan empat pingat emas setakat malam tadi, diikuti rapat oleh Sarawak dan Melaka yang masing-masing meraih tiga emas.
Dewan Wushu SSC di sini membawa tuah kepada Brunei apabila mencipta kenangan manis di Bumi Kenyalang menerusi atlet wushu Walid Lachkar yang menghadiahkan emas pertama negara itu di SUKMA 2024.
Beliau mengetepikan 18 peserta lain dengan meraih mata tertinggi 9.613 dalam acara daoshu sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2014 di Perlis.
Negeri Sembilan turut meraih pingat emas pertama menerusi Wong Zi Hong dalam acara taijiquan lelaki selepas mengumpul 9.596 mata biarpun dalam kondisi kurang sihat.
Atlet wushu Selangor Mandy Cebelle Chen menambah koleksi emasnya dengan mengungguli final taijiquan wanita sekali gus meletakkan beliau sebaris dengan Muhamad Iqbal Daniel dan Kee Zhe Yie yang turut mempunyai dua pingat emas.
Hari ini, secara keseluruhan sebanyak 27 pingat emas bakal ditawarkan menerusi wushu, taekwondo, berbasikal, boling padang dan tenpin boling.
-- BERNAMA
#terengganu #Brunei #Sukma Sarawak #atlet berbasikal