KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin menasihati atlet negeri yang mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak supaya sentiasa berdisiplin dan menjaga nama baik negeri.

Ellron juga mahu semua atlet memberikan prestasi terbaik sekali gus menyumbang pingat kepada kontinjen dalam setiap pertandingan disertai pada temasya yang berlangsung 17 hingga 24 Ogos ini.

"Kita mengharapkan satu disiplin kuat dalam kalangan atlet. Bawalah nama baik Sabah. Jangan kita buat masalah di sana. Usahakan terbaik untuk Sabah dan jangan sia-siakan sesi latihan yang telah dijalankan," katanya dalam sidang media mengenai Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Fairuz Renddan.

Ellron turut mengingatkan atlet supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta rehat secukupnya bagi memastikan mereka mampu memberikan aksi terbaik.

"Kita juga mengharapkan suasana di sana tenang. Jaga makan dan minum, rehat serta jaga keselamatan diri," katanya sambil mengingatkan atlet supaya tidak terlalu yakin meskipun telah membuat persiapan awal.

Sebaliknya beliau menyeru mereka supaya terus fokus serta melakukan yang terbaik dalam setiap cabaran agar mampu menghadiahkan kejutan.

Ellron berkata dua kumpulan atlet kini sudah berada di Kuching untuk menjalani latihan sekali gus menyesuaikan diri dengan lokasi acara masing-masing, manakala rombongan beliau dijadualkan berangkat ke Bumi Kenyalang Jumaat ini.

Mengulas HSN peringkat Sabah, Ellron berkata program yang bakal berlangsung pada 12 Okt di Kompleks Sukan Keningau itu antara lain bertujuan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersenam bagi mewujudkan masyarakat cergas dan aktif.

Beliau berkata lebih 500,000 orang dijangka memeriahkan HSN di seluruh negeri bermula 7 pagi, melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dari kanak-kanak sehinggalah warga emas.

Ellron berkata pelbagai aktiviti menarik djadualkan seperti pameran produk berkaitan sains sukan selain senamrobik, larian untuk negara, berjalan ria MADANI dan sukan tradisional.

"Kita bersetuju bukan sahaja sukan tradisi ini diadakan semasa Pesta Kaamatan, tetapi juga di HSN...supaya anak-anak muda kenal apa itu sukan tradisi, jadi kita perlu amalkan supaya ia tidak hilang ditelan zaman," katanya.

-- BERNAMA