SUKMA 2024: Andrew perbaharui rekod kebangsaan 50m kuak dada lelaki
Bernama
Ogos 21, 2024 12:10 MYT
Ogos 21, 2024 12:10 MYT
KUCHING: Perenang Selangor Andrew Goh memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 50 meter kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu mencatat 28.03 saat dalam saringan ketiga acara berkenaan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, mengatasi 28.10s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia 2023 di Kuala Lumpur.
Catatan itu juga memadam rekod SUKMA, 28.86s oleh perenang Melaka Foong Wei Tze pada edisi 2018.
Wakil Sabah Emmanuel Loh Yung Ming mencatat 30.08s untuk tempat kedua manakala Loo Jhe Yee dari Pahang ketiga dengan 30.53s untuk layak ke peringkat akhir dijadual petang ini.
Pada Isnin, Andrew telah memperbaharui rekod kebangsaan acara 100m kuak dada dengan catatan 1:01.39s, memadam rekod lama yang juga miliknya 1:02.30s dicatatkan pada Terbuka Malaysia 2024 dan rekod SUKMA milik Wong Fu Kang 1:03.05s, pada edisi 2016.
Sementara itu, Isabelle Chiyi Buckley dari Wilayah Persekutuan melebur rekod SUKMA 50m kuak dada wanita dengan catatan 32.83s, memadam rekod milik Christina Loh 33.29s pada 2016.
-- BERNAMA