SUKMA 2024: Andrew dominasi kolam renang dengan lima emas, tiga rekod kebangsaan

Bernama
Ogos 23, 2024 22:56 MYT
Atlet Selangor Andrew Goh mengakhiri aksi renang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan cemerlang meraih lima pingat emas selain memperbaharui tiga rekod kebangsaan dan lima rekod temasya. - BERNAMA
KUCHING: Atlet Selangor Andrew Goh mengakhiri aksi renang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan cemerlang meraih lima pingat emas selain memperbaharui tiga rekod kebangsaan dan lima rekod temasya.
Pencapaian itu menjadikannya sebagai jaguh renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini.
Pada hari terakhir hari ini, atlet berusia 20 tahun itu bergandingan dengan Teoh Kar Chuan, Jayden Goh Li Jie dan Loke Yew Jien menyambar pingat emas acara 4x100m rampaian lelaki dengan catatan masa baharu 3 minit 49.12 saat (s).
Catatan berkenaan memadam rekod lama milik kuartet Selangor 3:49.98s dilakukan pada edisi 2016.
David Lee Boon Wei, Cham Yu Xiang, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Yap Min Shun dari Wilayah Persekutuan meraih perak dengan 3:51.82s manakala kuartet Pulau Pinang dibarisi Samuel Lai Chong Weng, Wan Khai Hern, Elson Lee Chun Hong, Chris Chew Vi Min gangsa dengan 4:00.41s.
"Rasa sangat hebat, saya tidak dapat capai kejayaan ini tanpa pasukan saya. Saya perlu terus bekerja keras dan memperbaiki diri. Semoga satu hari nanti saya dapat mewakili Malaysia di Olimpik," katanya.
Andrew sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan dan SUKMA sebanyak dua kali untuk meraih pingat emas acara 50m kuak dada lelaki manakala pada Isnin, beliau memecah rekod kebangsaan dan SUKMA miliknya untuk meraih emas acara 100m kuak dada.
Beliau juga memenangi pingat emas acara 200m kuak dada dengan rekod SUKMA baharu di samping dua pingat emas dalam acara 200m rampaian individu dan 4x100 rampaian campuran.
Sementara itu, perenang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry mengungguli acara 800m gaya bebas untuk menamatkan kempen dengan lima emas, dua perak dan memperbaharui empat rekod SUKMA.
Atlet berusia 16 tahun itu meraih pingat emas dengan catatan 8:14.58s mendahului wakil Melaka Anselm Lee Jun Xian (8:37.28s) dan Selangor Jayden Goh Li Jie (8:37.31s) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Wakil tuan rumah Kelly Teo Yao mempamerkan kemampuannya untuk menambah pingat emas 1,500m gaya bebas wanita dengan 17:56.21s sekali gus menamatkan cabaran SUKMA 2024 dengan enam emas, satu perak dan dua gangsa.
Setelah Sarawak mengumumkan insentif RM15,000 untuk pemenang pingat emas, RM5,000 (perak) dan RM3,000 (gangsa), atlet berusia 18 tahun itu dijangka memperoleh hampir RM100,000.
"Saya sangat gembira dengan pencapaian ini dan sasaran seterusnya ialah Kejohanan Kumpulan Umur Asia Tenggara di Thailand pada Disember. Tiada rahsia, saya mencipta kejayaan ini melalui kerja keras kerana saya berlatih selama empat jam sehari, enam hari seminggu.
"Saya hanya menyasarkan empat emas, tak sangka dapat enam. Saya mahu menggunakan insentif ini membelanja keluarga dan rakan-rakan, beli kereta dan bakinya buat simpanan," katanya.
Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan acara renang dengan 16 emas, lapan perak dan tujuh gangsa daripada 41 pingat emas yang dipertandingkan, diikuti Selangor (13-19-7) dan Sarawak (9-1-7).
-- BERNAMA
#andrew goh #Sukma 2024 #renang #pingat emas #rekod kebangsaan
;