Sukma 2022: Pandelela dakwa acara terjun tidak tersenarai 'atas alasan politik'
Faris Danial Razi
Julai 21, 2022 21:01 MYT
Julai 21, 2022 21:01 MYT
KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menyatakan rasa kecewa kerana acara terjun dilaporkan tidak tersenarai pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang bakal berlangsung pada September depan.
Beliau dalam perkongsian di Twitter memaklumkan, acara yang menjadi sasaran pingat emas bagi negeri Bumi Kenyalang itu tidak tersenarai "atas sebab politik".
“Cukup menyedihkan apabila mendengar bahawa tiada acara terjun wanita di Sukma tahun ini atas sebab politik. ‘Junior’ saya mesti agak kecewa,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan Sarawak dilaporkan akan membuat rayuan mengenai perkara itu memandangkan acara itu merupakan lubuk emas kepada Sarawak pada Sukma.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, ketika ini hanya tiga negeri sahaja termasuk Sarawak yang mengesahkan penyertaan untuk acara berkenaan.
Katanya, sekiranya jumlah kontinjen bertanding bagi sesuatu sukan tidak mencapai enam pasukan, acara itu tidak akan dipertandingkan pada temasya berkenaan yang menjadi medan untuk mencungkil atlet pelapis.
Sukma ke-20 bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 September depan.