Sukma 2022: Lontaran emas Nani Sahirah ketepikan cabaran atlet kebangsaan
Bernama
September 15, 2022 06:30 MYT
September 15, 2022 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet olahraga wanita Pahang Nani Sahirah Maryata hampir pasti menjadi individu paling teruja pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, selepas berhasil menyumbang dua pingat buat negeri itu menerusi olahraga di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Khamis.
Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, membuktikan impak keberadaannya di temasya berkenaan bukan calang-calang, apabila terdahulu menyumbang pingat perak bagi acara lempar cakera wanita selepas membuat lemparan sejauh 39.97 meter (m).
Tidak mahu menutup saingan hari pertama sukan olahraga dengan sekadar pingat perak, Nani Sahirah kemudian bangkit menebus pingat emas buat dirinya selepas mengungguli acara lontar peluru wanita.
Lebih manis, lontaran sejauh 13.38m yang menghasilkan emas itu, ternyata mengejutkan atlet olahraga kebangsaan dari Sarawak Grace Wong Xiu Mei yang sekadar membuat lontaran sejauh 12.44m untuk meraih perak, sementara gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Pahang Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar dengan lontaran sejauh 12.02m.
Dominasi Pahang dalam sukan olahraga kemudian diteruskan, selepas pelari jarak jauh Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain mengungguli acara 10,000m Lelaki, menamatkan saingan dalam masa 31 minit 11.62 saat (s).
Hasrat atlet berusia 20 tahun dari Cameron Highlands itu membuat penampilan sulung pada Sukma kali ini untuk melakar pencapaian bergaya, bagaimanapun tidak kesampaian apabila catatan itu tidak diiktiraf sebagai rekod baharu kejohanan.
Di gelanggang wushu, atlet wushu Selangor Mandy Cebelle Chen menamatkan penantiannya selama lapan tahun, bagi menggenggam pingat emas Sukma selepas mengungguli acara Taijiquan wanita di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini.
Pencapaian dilakar atlet berusia 19 tahun berkenaan lebih bermakna, apabila ia merupakan emas pertama diraih kontinjen Selangor pada temasya edisi ke-20 itu.
-- BERNAMA