SUKIPT: UPSI optimis raih 15 pingat emas
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 13, 2022 12:50 MYT
Ogos 13, 2022 12:50 MYT
TANJUNG MALIM: Tuan rumah kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) edisi kelima, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mensasarkan sekurang-kurangnya meraih 15 pingat emas untuk penganjuran edisi kali ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, sasaran itu tidak mustahil kerana anak-anak buahnya telah menunjukkan prestasi lebih baik, berbanding edisi lalu pada 2018.
Menurutnya, jika edisi lalu UPSI berada di kedudukan kelapan, tidak mustahil UPSI mampu menggondol lebih banyak pingat, lebih-lebih lagi menjadi tuan rumah kali ini.
“Alhamdulillah, pada hari pertama, atlet silat berjaya menghadiahkan sebutir emas. UPSI amat optimis untuk mengungguli lebih banyak acara selepas ini seperti karate, memanah, lawn bowl, renang, olahraga dan sofbol,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian perkampungan sukan di Gelanggang Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah, semalam.
Perkampungan Sukan SUKIPT 2022 dirasmikan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Norisma Mohd Ismail, sekali gus meraikan ketibaan kontinjen dari seluruh negara.
Temasya SUKIPT yang sudah memasuki edisi kelima dijadual berlangsung sehingga 21 Ogos dan mempertandingkan 21 jenis sukan dengan pembabitan 66 universiti dari seluruh Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan temasya sukan itu malam esok.