SUKIPT 2022: Cape Cafe tawar harga menu RM1.70

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 14, 2022 09:30 MYT
Di Cape Cafe, terdapat lebih 40 menu sajian makanan lengkap dengan minuman, snek dan pencuci mulut. - Foto Astro AWANI
TANJUNG MALIM: Sempena Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang sedang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pihak penganjur membawa masuk sebuah cafe yang menawarkan sajian makanan serendah RM1.70.
Cape Cafe kini beroperasi di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) untuk memberi peluang kepada atlet dan penuntut lain menikmati sajian makanan yang murah.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, ketika ini hampir 8,000 atlet dan pegawai kontinjen berkampung di UPSI untuk mengambil bahagian di dalam SUKIPT yang berlangsung dari 12 hingga 21 Ogos.
“Kita membawa masuk Cape Cafe yang tidak asing buat warga Tanjung Malim kerana terkenal dengan jualan hidangan berharga RM1.70 dan beroperasi di daerah ini sejak lima tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, sebagai universiti yang prihatin kepada warganya, langkah melantik Syarikat Capecafe Resources menjalankan perniagaan kafeteria di UPSI adalah amat bertepatan.
“Menariknya terdapat lebih 40 menu sajian makanan lengkap dengan minuman, snek dan pencuci mulut.
“Kemudahan ini bukan sahaja boleh dinikmati para kontinjen SUKIPT dan warga UPSI, malah, orang ramai yang berkunjung ke sini semasa temasya sukan ini berlangsung, juga boleh sama menikati,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik dan pengusaha Cape Cafe Resources, Wan Hairul Azuwan Wan Hemat, 42 tahun, berkata, kesemua harga makanan, minuman, kudapan dan pencuci mulut masih menggunakan harga yang sama RM1.70 sejak memulakan operasi lima tahun lalu.
Menurutnya, idea untuk menawarkan harga murah timbul kerana untuk membantu penuntut pelbagai institusi pendidikan yang terdapat di daerah Muallim.
“Dengan kepadatan warga UPSI, Politeknik Sultan Azlan Shah, Giatmara Tanjung Malim dan beberapa pusat pengajian swasta di Muallim, saya rasa dengan mengusahakan kafe harga berpatutan di Taman Anggerik, dapat membantu anak-anak kita yang sedang menuntut di sini,” katanya.
Antara menu yang menjadi tumpuan ialah nasi lemak, nasi putih rendang ayam, nasi ayam penyet, nasi ikan talapia seekor, mi tomyam, bakso, chicken chop, kentang goreng, kek bronis aiskrim, ubi kayu sambal bilis serta pelbagai minuman panas dan sejuk disajikan dengan harga RM1.70.
#menu RM1 70 #Sukipt #Cape Cafe #kafe harga berpatutan
;