Sukar untuk Ronaldo kembali lawan Ajax, kata Allegri
Astro Arena
April 2, 2019 10:20 MYT
April 2, 2019 10:20 MYT
KETUA jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui agak sukar untuk Cristiano Ronaldo kembali beraksi dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah berdepan Ajax, bulan depan selepas mengalami kecederaan paha.
Ronaldo mengalami kecederaan itu ketika membantu Portugal mengikat Serbia 1-1 dalam pusingan kelayakan Euro 2020, Selasa lalu, dan tidak menyertai aksi LaLiga ketika Juve meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Empoli, hujung minggu lalu.
Allegri dan pengerusi Juve, Andrea Agnelli, mendedahkan pemain berusia 34 tahun itu tidak akan terburu-buru untuk kembali beraksi memandangkan pasukan itu kini berkelebihan 15 mata di puncak Serie A.
Difahamkan, Juve merancang untuk tidak menyenaraikan Ronaldo dalam aksi liga berdepan Cagliari dan AC Milan sebelum berdepan Ajax, Rabu depan.
Bagaimanapun, perkembangan terkini mendapati, Ronaldo berkemungkinan besar akan terlepas aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Amsterdam itu.
"Ronaldo semakin pulih dan kami berharap dapat menurunkannya ketika menentang Ajax, namun ia agak sukar," kata Allegri dalam sidang media.
"Kami berharap dia akan dapat diturunkan. Dia sedang berusaha keras setiap hari.
"Hari ini (Isnin), berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, kakinya semakin pulih.
"Tinggal sembilan hari lagi sebelum kami bertemu Ajax dan kami masih ada masa untuk menilai keadaannya.
"Kami perlu berhati-hati dalam melakukan penilaian itu.
"Bagi Douglas Costa pula, dia berada dalam kondisi yang baik dan akan diturunkan ketika menentang Ajax.
"(Sami) Khedira pula sudah mula berlatih dan akan bersama pasukan ini untuk menentang Milan.
"Paulo Dybala akan menjalani pemeriksaan bagi menilai tahap kecederaan bahu yang dialaminya.
"Dia tidak akan beraksi di Sardinia (menentang Cagliari, awal pagi esok) dan kami berharap dia akan kembali untuk menentang Ajax," katanya.
Walaupun ketiadaan Ronaldo mengurangkan ketajaman serangan Juve, ia memberikan peluang untuk penyerang muda, Moise Kean, menyerlah.
Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan dua gol pertama peringkat antarabangsa dengan Itali ketika waktu rehat antarabangsa baru-baru ini dan menjaringkan gol kemenangan Juve ke atas Empoli.
Allgeri mendedahkan pemain muda itu akan tersenarai sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Gagliari.
"Kita akan lihat apa yang mampu dilakukannya di atas padang.
"Dia masih muda, mempunyai keinginan yang tinggi dan mampu beraksi baik.
"Ia pasti ujian yang baik untuk dia berdepan lawan yang sukar.
"Ia ujian mengenai kematangannya. Dia berusia 19 tahun dan mempunyai kualiti yang penting.
"Kami berharap dia akan dapat meneruskannya, namun dia pasti akan berdepan prestasi turun naik.
"Jangan pula kita lupakan tentang potensi yang dimilikinya. Dia perlu mencapai tahap seorang pemain terbilang.
"Dia perlu turun ke padang setiap hari dan berusaha keras. Dia perlu sentiasa berkembang.
"Jika seseorang itu senang berpuas hati (dengan diri sendiri), mereka akan beraksi baik untuk setahun dan kemudian hilang arah tuju.
"Saya berharap Kean seorang yang bijak untuk memahaminya, namun ia terpulang kepada dirinya," katanya.
#Ajax
#Andrea Agnelli
#Cristiano Ronaldo
#Juventus
#kecederaan
#LaLiga
#Liga Juara-Juara Eropah
#Massimiliano Allegri
#Serie A