Sukar untuk memilih pemenang Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 - Edwin Moses

Bernama
Februari 22, 2014 08:00 MYT
Memilih pemenang tujuh kategori dalam Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 merupakan satu tugas mencabar bagi jawatankuasa pemilihan, kata Pengerusi Akademi Sukan Dunia Laureus, Edwin Moses.
Beliau berkata ini kerana sukar untuk mengiktiraf pencapaian atlet dan pasukan dalam kalender sukan antarabangsa bagi tahun 2013 berikutan kehebatan calon dalam bidang sukan masing-masing.
"Kami tidak mempunyai idea siapa yang bakal berada dalam senarai pemenang," kata Moses selepas melawat Istana Budaya di Jalan Tun Razak di sini, venue anugerah pada 26 Mac ini, di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membawa Moses melawat venue anugerah edisi ke-15 itu.
Moses, pemenang emas acara 400m lari berpagar pada Sukan Olimpik Montreal 1976 dan Sukan Olimpik Los Angeles pada 1984, berkata pihaknya akan mengumumkan nama calon dalam tujuh kategori berbeza, Rabu ini.
Tujuh kategori tersebut ialah Atlet Lelaki Terbaik Dunia Laureus, Atlet Wanita Terbaik Dunia Laureus, Pasukan Terbaik Dunia Laureus, Anugerah Cemerlang Dunia Laureus, Anugerah Kemunculan Semula Dunia Laureus, Anugerah Kesukanan Dunia Laureus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan Anugerah Aksi Kesukanan Dunia Laureus.
Kuala Lumpur menjadi negara Asia Tenggara pertama diberi penghormatan menjadi tuan rumah Anugerah Sukan Dunia Laureus, anugerah berprestij yang menghimpunkan ramai bintang sukan terkemuka.
"Jika melihat kategori pasukan, mungkin pasukan ragbi All-Blacks dari New Zealand dan pasukan bola keranjang Miami Heats dari Amerika Syarikat dicalonkan atas pencapaian baik tahun lepas.
"Bagi kategopri individu, pelumba Formula Satu (F1), Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull memiliki rekod mantap apabila muncul juara dunia untuk tiga tahun berturut-turut," katanya.
Mengenai lawatannya ke Istana Budaya, Moses menyifatkan ia adalah venue unik, sambil menjanjikan majlis anugerah tersebut akan menjadi satu kenangan.
Nama enam calon bagi setiap kategori dipilih menerusi undian oleh Panel Pemilihan Media Laureus yang dianggotai oleh editor sukan terkemuka, wartawan sukan, penyiar dan wartawan atas talian dari seluruh dunia.
Juri sukan daripada 46-anggota Akademi Sukan Dunia Laureus kemudian akan melakukan undian rahsia untuk memilih pemenang anugerah berprestig tersebut.
#Anugerah Sukan Laureus #Edwin Moses #pemenang
;