Sukar percaya Suarez terlepas peluang mudah

Astro Arena
April 3, 2016 12:58 MYT
Kegagalan itu turut mengecewakan ramai peminat Barca yang mengharapkan kemenangan lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri. - Gambar Astro ARENA
REKOD tanpa kalah Barcelona sepanjang 39 perlawanan dalam semua pertandingan akhirnya tamat selepas tewas kepada musuh tradisinya, Real Madrid 2-1 dalam aksi El Clasico La Liga awal pagi tadi.

Barcelona terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi tandukan Gerard Pique di minit ke 55. Bagaimanapun, Real tidak menunggu lama untuk membalas apabila Karim Benzema mengikat kedudukan 1-1 dengan jaringan menarik di minit ke-61.

Kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk mencari kemenangan. Barca berpeluang untuk menggunakan kelebihan apabila Sergio Ramos dihalau keluar padang di minit ke-84, selepas melakukan dua kesalahan mengkasari pemain lawan. Sebaliknya, Real pula yang berjaya mencipta gol kemenangan menerusi rembatan Cristiano Ronaldo, seminit kemudian.

Pertahanan tengah Barca, Javier Mascherano berkata skuadnya tidak cukup bijak terutamanya pada 15 minit terakhir apabila melepaskan banyak peluang di depan pintu gol.

"Ia satu perasaan yang sengsara. Kita semua mahu menang dan mengambil keputusan yang baik, tetapi kita tidak cukup bijak pada 15 minit terakhir. Kita gagal menggunakan peluang terbaik," katanya.

Pun begitu, peluang Barca hadir seawal minit ke-9. Bagaimana Suarez terlepas peluang keemasan ketika dia yang tidak di kawal tatkala bola berada dikakinya selepas menerima hantaran bijak daripada Neymar antara peluang keemasan di miliki Barca pada awal perlawanan.

Kegagalan itu turut mengecewakan ramai peminat Barca yang mengharapkan kemenangan lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri.

#barcelona #El Clasico La Liga #Gerard Pique #Real Madrid #Sergio Ramos
;