Sukan Universiti ASEAN: Gelaran ratu pecut milik Azreen Nabila
Bernama
Julai 27, 2022 23:11 MYT
Julai 27, 2022 23:11 MYT
UBON RATCHATHANI (Thailand): Gelaran ratu pecut temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 menjadi milik pelari pecut negara, Azreen Nabila Alias selepas beliau memenangi acara 100 meter (m) wanita yang berlangsung di Stadium Sisaket City, hari ini.
Azreen pada acara itu merekodkan catatan masa 11:88 saat (s) menewaskan seorang lagi wakil negara, Nor Sarah Adi yang menamatkan saingan dengan meraih perak dengan catatan 11:97s.
Manakala gangsa diraih atlet tuan rumah Thailand, On-Uma Chattha yang menamatkan saingan dengan catatan masa 12:41s.
Azreen berkata kemenangan ini dalam masa sama menebus kekalahannya pada atlet Thailand berkenaan pada Sukan SEA Vietnam 2021.
"Saya tak jangka saya dapat menang hari ini kerana saya tak berapa sihat dari semalam. Saya cuma nak lakukan yang terbaik dan pegang kata-kata jurulatih," katanya.
Dalam pada itu, kem olahraga kempunan dalam merebut gelaran raja pecut pada temasya itu selepas Jonathan Nyepa menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Sukan olahraga turut berhasil meraih satu lagi pingat emas menerusi Kamal Farhan A Rahman bagi acara lontar peluru lelaki menerusi lontaran sejauh 16.47m menewaskan dua wakil Thailand.
Dalam perkembangan sama, lima lagi pingat perak diraih kem olahraga pada hari ini menerusi Nurul Hidayah Lukman (baling tukul besi), Mohamad Amirul Arif Mohd Azri (1,500m), Teoh Kim Chyi (400m), Muhammad Firdaus Mohamad Zemi (400m) dan R Kirthana (lompat kijang).
Sementara Savinder Kaur Joginder Singh menghadiahkan gangsa dalam acara 1,500m wanita.
-- BERNAMA