Sukan tarian: Malaysia raih dua emas di Terbuka London 2024

Bernama
September 24, 2024 12:13 MYT
Emas pasukan tarian Malaysia diperoleh menerusi Cherry Yeo dalam Latin Solo Wanita dan Madeleine Lau bagi acara Latin Solo Wanita Remaja. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pasukan sukan tarian negara merangkul dua pingat emas pada Terbuka London 2024, semalam.
Menurut Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF), emas berkenaan diperoleh menerusi Cherry Yeo dalam Latin Solo Wanita dan Madeleine Lau bagi acara Latin Solo Wanita Remaja.
Cherry dan Madeleine masing-masing telah mempamerkan bakat dan keunggulan seni tari luar biasa hingga memukau barisan juri sekali gus meletakkan kedua-duanya mengungguli kedudukan teratas.
Pencapaian Cherry itu memberikan perkembangan positif kepada kedudukan rankingnya yang kini menghuni ranking kedua teratas dunia bagi kategori Latin Solo Wanita manakala Madeleine keempat dunia Latin Solo Wanita Remaja.
"Kejayaan pasukan negara tidak dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi dan bimbingan pakar jurulatih Chua Zjen Fong dan Evon Chong dari MY DanceSport Academy," menurut kenyataan itu.
Sebanyak 25 negara termasuk Malaysia menyertai kejohanan berkenaan.
-- BERNAMA
#pasukan sukan tarian Malaysia #Terbuka London 2024 #Persekutuan Dance Sport Malaysia #Cherry Yeo #Madeleine Lau
;