Sukan SEA Vietnam: MOM sedia ubah syarat kelayakan

Astro Arena
Julai 22, 2020 23:39 MYT
NORZA: Kami akan mengubahnya mengikut cadangan selepas kami berbincang bersama MSN kerana mereka (MSN) juga komuniti. - Gambar fail/BERNAMA
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sedia mengubah syarat kelayakan untuk ke Sukan SEA Vietnam 2021.
Ia bagi menjayakan aspirasi menjadikan temasya sukan dwitahunan itu sebagai platform untuk atlet muda negara menyinar.
Perkara itu dikongsikan oleh Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SGF), hari ini.
Sebelum ini, MOM meletakkan syarat bahawa setiap atlet perlu mengatasi atau menyamai pencapaian catatan pemenang pingat perak edisi sebelumnya.
Namun, dengan polisi terbaru yang dicadangkan oleh badan induk itu untuk membariskan atlet muda daripada Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan, MOM sedia berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menetapkan had kelayakan terbaru.
"Kami akan mengubahnya mengikut cadangan selepas kami berbincang bersama MSN kerana mereka (MSN) juga komuniti.
"Kalau kami nak beri pendedahan kepada atlet muda, kami perlu praktikal dalam perubahan yang akan dilakukan.
"Kami akan berbincang dengan lebih lanjut selepas ini," katanya.
#Majlis Olimpik Malaysia #MOM #Norza Zakaria #Presiden MOM #Sukan Malaysia #Sukan SEA Vietnam #SUKMA #ubah syarat kelayakan
;