Sukan SEA: Uzair yakin sumbang emas

Astro Arena
Jun 8, 2015 18:00 MYT
Pelayar muda negara, Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof yang akan beraksi dalam acara 420 duo lelaki, yakin mampu menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara di Sukan SEA Singapura 2015. - Foto Astro Arena
"Saya dan rakan sepasukan Naquib Eiman Shahrin wajib menang pada perlumbaan yang akan bermula pada 10 Jun nanti kerana pingat emas cukup penting bagi kami berdua.
"Telah banyak masa dan tenaga kami habiskan untuk menghadapi temasya ini dan kami tidak rela pulang dengan tangan kosong," katanya kepada Bernama ketika menjalani latihan pesiapan akhir di pusat pelayaran kebangsaan Singapura.
Muhammad Uzair Amin, 16, berkata selain menjalani latihan di dalam negara, beliau dan rakannya turut menjalani latihan selama dua bulan di Greece bermula April lalu.
Katanya beliau bersedia sepenuhnya untuk berdepan pelayar lain terutama dari Singapura, Myanmar dan Thailand yang bakal memberi saingan hebat dalam acara tersebut.
Beliau berkata halangan angin akibat deretan kapal besar berlabuh di sekitar venue kejohanan merupakan cabaran besar yang perlu dihadapinya nanti.
"Agak sukar bagi saya untuk membaca arah angin dengan halangan kapal-kapal besar namun ia adalah satu cabaran biasa yang perlu dihadapi oleh setiap pelayar," katanya.
Skuad pelayaran negara beraksi cemerlang semalam apabila berjaya meraih pingat emas menerusi acara berpasukan optimist bawah 16 tahun.
Pasukan optimist dibarisi Muhammad Fauzi Kaman Shah (kapten), Abdul Latif Mansor, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nur Aisah Rose Ramlee dan Muhammad Dhiauddin Rozaini.
#Muhammad Uzair Amin #Singapura #Sukan SEA
;