Sukan SEA: Twitter jadi medan reaksi kegembiraan dan keluhan kecewa
Shamil Hizamie
Jun 4, 2015 20:26 MYT
Jun 4, 2015 20:26 MYT
Tumpuan rakyat Malaysia kini pastinya pada Sukan Asia Tenggara ke-28 (Sukan SEA) yang berlangsung di Singapura.
Meskipun upacara pembukaan dijadualkan pada esok namun beberapa acara sukan sudah bermula beberapa hari sebelumnya.
Sehingga artikel ditulis, Singapura mengungguli carta pingat apabila memperoleh lima pingat emas, empat perak dan tujuh gangsa. Singapura diikuti rapat oleh Vietnam dan Thailand dengan masing-masing memperoleh tiga dan dua pingat emas.
Malaysia akhirnya memperoleh pingat pertama negara iaitu pingat gangsa menerusi beregu wanita Ho Ying dan Lee Rou You dalam acara ping pong, Selasa lalu.
Meskipun hanya dibentuk dalam tempoh setahun, Skuad renang berirama negara pula berjaya meraih perak pertama negara.
Acara renang pula hari ini memberi tuah buat kontinjen negara apabila menyumbang kepada pingat emas pertama menerusi gandingan Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee.
Rakyat Malaysia menzahirkan rasa berbangga mereka terhadap kontinjen negara di laman Twitter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut melahirkan ucapan tahniah terhadap Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee yang berjaya mengharumkan nama negara.
Sementara itu, berbeza pula reaksi para netizen terhadap keputusan perlawanan skuad bola sepak negara yang tewas berturut-turut di saingan kumpulan terhadap Vietnam dan Thailand.
Malaysia kini perlu mengharapkan 'keajaiban' untuk mara ke separuh akhir yakni pasukan Vietnam dan Thailand kalah dalam baki dua peringkat kumpulan.
Kurang sejam lalu, Ng Sock Khim meraih pingat perak dalam final perseorangan wanita bagi acara ping-pong di Stadium Tertutup Singapura.