Sukan SEA: Tiga emas daripada skuad pencak silat negara

Astro Awani
Mei 10, 2023 15:32 MYT
Atlet Pencak Silat Malaysia Norsyakirah Muksin ketika menentang atlet dari Indonesia Suci Wulandari - Foto/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kontinjen silat negara hari ini meneruskan prestasi cemerlang apabila menghadiahkan tiga butir emas pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Emas pertama pencak silat, yang juga emas ke-16 buat Malaysia disumbangkan oleh Norsyakirah Muksin dalam kategori bawah 45 kilogram Putri.
Norsyakirah menewaskan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33 pada final yang berlangsung di Chroy Changvar Convention Center.
Rentak cemerlang kem pesilat negara bersambung apabila Norfarah Mazlan menyumbang emas kedua dalam kategori 45-50 kilogram Putri, mengalahkan Nadhrah Sahrin dari Singapura dengan 23-16 pada pentas akhir.
Pada sesi sebelah petang pula, Muhammad Izzul Irfan Marzuki turut tidak mengecewakan apabila membutirkan satu lagi pingat emas, yang juga emas ke-20 buat negara menerusi acara silat kategori 60-65 kilogram Putra.
Dia menewaskan pesilat Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada dengan keputusan 39-33.
Semalam, enam pesilat negara mengesahkan slot ke pentas akhir acara silat tanding selepas menumpaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.
Mereka antaranya ialah Norsyakirah; Norfarah, Muhammad Izzul Irfan; Mohd Shahrul Zeckry; Siti Shazwana Ajak; serta Muhammad Robial Sobri.
#Sukan SEA Kemboja 2023 #pingat emas #pencak silat #skuad negara
;