Sukan SEA: Tidak panggil pemain senior keputusan baik - Hadi Fayyadh

Bernama
April 27, 2022 11:49 MYT
Hadi Fayyadh berkata, temasya sukan dwitahunan itu adalah pentas terbaik untuk barisan pemain muda menimba pengalaman. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain senior dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan pada temasya Sukan SEA di Hanoi, bulan depan akan membuka peluang kepada generasi baharu menyinar, kata penyerang muda negara Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Beliau yang beraksi bersama kelab liga divisyen tiga Jepun Azul Claro Numazu berkata temasya sukan dwitahunan itu adalah pentas terbaik untuk barisan pemain muda menimba pengalaman bagi meningkatkan prestasi masing-masing.
"Ini juga bagus untuk persediaan ke Piala Asia B-23. Jadi saya rasa ini satu keputusan yang positif dilakukan jurulatih Brad (Brad Maloney)," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23 kebangsaan di Kompleks Sukan Institut Penilaian Negara (INSPEN) di Bangi, malam tadi.
Penyerang berusia 22 tahun itu yang mula menyertai pasukan semalam, antara 31 pemain yang disenaraikan Maloney ke kem latihan pusat menjelang Sukan SEA Hanoi dengan hanya 20 pemain terbaik akan dipilih menggalas cabaran negara.
Menurut senarai dikeluarkan, tiada seorang pun pemain senior dipanggil meskipun Maloney mempunyai pilihan mendaftarkan dua pemain berumur lebih 23 tahun untuk menambah kekuatan pasukan bagi mengharungi saingan di Hanoi.
Tanpa khidmat pemain senior, Hadi Fayyadh optimis skuad kebangsaan mampu menempuh cabaran sengit bakal dihadapi kerana baginya pemain yang dipanggil memiliki kelebihan dan potensi masing-masing.
"Saya nampak semua pemain juga dapat sesuaikan diri dengan baik, itu satu yang positif dan saya harap apa-apa pun terjadi kita (pemain) kena bersatu hati, berusaha keras dan tidak mudah mengaku kalah," katanya yang bakal membuat penampilan kedua Sukan SEA selepas edisi 2019 di Filipina.
Mengulas mengenai saingan di Hanoi, beliau berkata setiap pasukan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan sebagai pemain, mereka perlu membuat persiapan rapi dan sentiasa bersedia untuk diturunkan pada mana-mana perlawanan.
"Aksi pertama lawan Thailand saya harap semua pemain dapat beri 100 peratus dan bersedia, mudah-mudahan kita akan capai kemenangan dalam perlawanan sulung," kata bekas pemain Johor Darul Ta'zim II dan Fagiano Okayama itu.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B pada temasya sukan dwitahunan itu dijadual berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh untuk merebut dua slot ke separuh akhir.
Pada edisi 2019 di Filipina, pasukan negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Indonesia di bawah bimbingan Kim Swee.
-- BERNAMA
#skuad bawah 23 #bola sepak #Sukan SEA #pemain senior #Hadi Fayyadh
;