Sukan SEA: Sock Khim gagal tamat kemarau emas 26 tahun
Jun 5, 2015 08:49 MYT
Peserta negara Ng Sock Khim yang beraksi menentang peserta Thailand Suthasini Sawaettabut dalam acara akhir Ping Pong Perseorangan Wanita pada temasya Sukan SEA Ke-28 malam tadi telah memberi sinar harapan apabila beliau mengatasi Suthasini Sawettabut 11-7 pada set pembukaan sebelum kalah 5-11 pada set berikutnya.
Pada set ketiga, Sock Khim kalah 8-11 sebelum menyamakan kedudukan 2-2 pada set kedua dengan kemenangan 11-9.
Pada set kelima, beliau kalah 6-11 tetapi bangkit semula untuk menyamakan kedudukan 3-3 dengan kemenangan 11-9.
Bagaimanapun, pada set penentuan, pemain Thailand itu menguasai permainan untuk menang 11-4, sekali gus meraih emas manakala Sock Khim terpaksa berpuas dengan pingat perak.
Malaysia kali terakhir merangkul pingat emas dalam acara tersebut melalui Leong Mee Wan pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Sock Khim berkata beliau kecewa kerana gagal meraih emas sejak pembabitannya dalam Sukan SEA sejak 1999.
"Saya rasa bersalah kerana masih belum memenangi emas Sukan SEA. Saya banyak melakukan kesilapan pada set penentuan," kata Sock Khim, yang juga pemenang pingat perak dalam acara itu di Sukan SEA di Laos pada 2007.