Sukan SEA: Skuad tenis intai slot perlawanan akhir
Astro Arena
Februari 1, 2017 15:46 MYT
Februari 1, 2017 15:46 MYT
DI SEBALIK cabaran sukar mendominasi tenis dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad negara tetap menyasarkan sekurang-kurangnya satu penampilan final.
Lima pingat emas ditawarkan dalam acara tenis yang merangkumi acara perseorangan, beregu, lelaki dan wanita serta beregu campuran.
Ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal, berpandangan Malaysia mempunyai harapan untuk mencipta impak dalam saingan beregu wanita.
Dia melontarkan pendapat sedemikian selepas mengambil kira faktor gandingan dua pemain paling berbakat negara, Jawairiah Noordin dan S. Theiviya.
"Kita akan bersaing dalam lima kategori acara tenis dalam Sukan SEA.
"Secara peribadi, saya mengharapkan salah satu kategori itu akan mara ke perlawanan akhir.
"Saya melihat beregu wanita lebih berpeluang untuk melangkah jauh," katanya.
Muliyadi ketika ini masih lagi memantau pemain daripada kalangan pelapis untuk membarisi skuad negara dalam Sukan SEA.
Sirkit pertama kejohanan kebangsaan yang bermula hari ini menjadi medan untuk barisan kejurulatihan negara mengenal pasti muka baru.
Selain Jawairiah dan Theivia, Malaysia dijangka terus bergantung kepada pemain senior seperti Ahmad Deedat Abdul Razak, Syed Agil Syed Naquib dan Assri Merzuki bagi skuad lelaki.
"Ini bergantung kepada pencapaian mereka. Kami akan mengadakan fasa ketiga nanti, kami akan membuat pilihan untuk dua slot pasukan lelaki dan tiga slot lagi untuk wanita," ujarnya.