Sukan SEA: Skuad sepak takraw terus kempunan raih emas

Bernama
Mei 15, 2023 14:28 MYT
Atlet pasukan sepak takraw Malaysia, Muhammad Nuraizat Mohd Nordin (kanan) ketika beraksi menentang Indonesia dalam acara akhir beregu lelaki sempena Sukan SEA 2023 di Dewan Bola Keranjang NSTC hari ini. - Foto Bernama
PHNOM PENH: Skuad sepak takraw negara terus kempunan menuai pingat emas apabila tumpas 1-2 kepada Indonesia pada aksi final double lelaki pada Sukan SEA 2023 di sini hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara gagal menepati sasaran meraih pingat emas yang ditetapkan bagi acara berkenaan di temasya kali ini.
Pingat perak itu juga sekali gus menyamai pencapaian pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas apabila Malaysia tumpas kepada lawan sama dengan keputusan yang serupa.
Pada saingan yang berlangsung sengit di Dewan Bola Keranjang NSTC itu, gandingan Malaysia dibarisi Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Nor Aizat Mohd Nordin dengan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan diletakkan sebagai simpanan, bermula baik apabila menang 21-16 pada set pertama.
Namun rentak kemenangan itu gagal diteruskan pada set kedua dengan pemain negara gagal mendapatkan mata sebelum tewas 16-21.
Pada set penentuan, corak serangan dan hadangan dilakukan anak buah Ahmad Jais Baharun itu kerap tersekat dan terpaksa akur dengan kekalahan 13-21 dalam perlawanan yang berlangsung kira-kira satu jam setengah.
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Muhammad Nor Aizat mengakui kecewa kerana gagal menebus kekecewaan kalah kepada seteru lama yang sama pada temasya di Hanoi.
Namun, beliau bersyukur dengan pingat perak tersebut dan berjanji akan menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan akan datang
"Untuk set pertama, rezeki kita menang tetapi di set kedua kami hilang fokus, servis dan pukulan (libasan) pun tidak menjadi. Di situ punca kekalahan kita kepada Indonesia pada hari ini.
"Sebenarnya kami memang nak balas dendam...kami bertiga sudah berusaha sehabis baik tetapi Allah SWT nak kita usaha lebih lagi bagi mendapatkan pingat emas," katanya.
Sementara itu, Aidil berkata pasukan negara sudah berusaha sehabis mungkin bagi mendapatkan pingat emas, namun nasib tidak berpihak kepada mereka.
Setakat ini, skuad lelaki negara meraih tiga pingat perak menerusi acara regu berpasukan, double dan chinlone (same stroke) serta dua gangsa menerusi chinlone (non repetition dan linking).
Esok, pasukan negara akan turun beraksi dalam acara terakhir sepak takraw kategori antara regu.
Sebelum ini, satu pingat emas dalam acara double sepak takraw dan chinlone menjadi sasaran buat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada temasya Sukan SEA 2023.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #sepak takraw #Malaysia #Indonesia #pingat emas
;