Sukan SEA: Skuad renang berirama raih perak pertama negara
Astro Arena
Jun 3, 2015 07:38 MYT
Jun 3, 2015 07:38 MYT
Pasukan negara menampilkan persembahan terbaik, namun gagal menarik perhatian juri untuk mengungguli acara tersebut dan terpaksa akur dengan kutipan 146.5204 mata.
Seperti dijangka, Singapura memenangi pingat emas dengan mengumpul 150.8445 mata manakala pingat gangsa milik Indonesia dengan kutipan 138.1796 mata.
Skuad negara dibarisi oleh Katrina Ann Abdul Hadi, Foong Yan Nie, Gan Hua Wei, Gan Zhen Yu, Kwong Zhi Kei, Lee Yhing Huey, Lee Yiat Lum dan Tasha Jane Taher Ali.
Untuk rekod, pasukan negara meraih pingat emas pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia namun di Myanmar dua tahun lepas, acara itu tidak dipertandingkan.
"Persembahan di sini lebih sengit berbanding di Terbuka Jepun pada bulan lepas. Kami memang menjangkakan keputusan hari ini berdasarkan beberapa pertandingan yang kami sertai tahun ini. Tahniah kepada pasukan Singapura," kata Katrina Ann.
Sementara itu, pembantu jurulatih negara Png Hui Chuen berkata kemenangan pingat perak itu sudah dijangka kerana pasukan tuan rumah yang dibarisi atlet senior menampilkan persembahan yang lebih baik.
"Pasukan Malaysia hanya dibentuk dalam setahun lebih dan masih banyak perlu diperbaiki untuk menjadi satu pasukan yang kuat. Sasaran kita pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur," katanya.
#Foong Yan Nie
#Gan Hua Wei
#Gan Zhen Yu
#Katrina Ann Abdul Hadi
#Kwong Zhi Kei
#Myanmar
#Palembang
#Sukan SEA