Sukan SEA: Skuad karate cemerlang di Kemboja, hadiah dua emas pertama negara

Bernama
Mei 6, 2023 10:50 MYT
Skuad karate memulakan kempen Sukan SEA 2023 dengan bergaya selepas merangkul dua emas pertama negara. - Foto Facebook MAKAF
PHNOM PENH: Skuad karate memulakan kempen Sukan SEA 2023 dengan bergaya selepas merangkul dua emas pertama negara di sini.
Juara bertahan C. Shahmalarani menyumbang emas sulung negara dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) selepas menumpaskan juara Sukan Dunia 2022 dari Filipina Junna Tsukii Villanueva pada aksi di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.
Walaupun Villanueva mendahului 1-0 di awal permainan namun Shahmalarani berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1 apabila jurulatih Malaysia Tamel Abdelraof meminta semakan video selepas anak buahnya itu dilihat melakukan yuko (tumbukan) ke arah lawan.
Bagaimanapun, Shahmalarani diisytiharkan juara oleh pengadil selepas gerakan atlet negara itu lebih agresif di dalam gelanggang berbanding musuhnya.
Sejurus kemudian, giliran juara edisi 2019, S. Prem Kumar pula menghadiahkan emas kedua negara, kali ini dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.
Prem Kumar, yang bertarung dalam kesakitan akibat kecederaan di pergelangan tangan kiri, mendapat mata pertama sebelum ketinggalan 3-1 dalam aksi penuh sengit menentang wakil Thailand, Chanphet Setthaphong.
Namun atlet Malaysia itu menampilkan semangat juang tinggi apabila berjaya meraih dua mata berturut-turut untuk menyamakan kedudukan 3-3 hingga ke penghujung pertarungan dan diangkat sebagai pemenang selepas memperoleh mata terlebih dahulu ke atas Setthaphong.
Skuad karate negara turut merangkul perak bagi acara kata individu lelaki menerusi Muhammad Aiqal Asmadie serta gangsa kata berpasukan wanita oleh trio Lovelly Anne Roberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil.
Muhammad Aiqal terpaksa akur dengan perbezaan 0.2 mata yang memusnahkan harapannya bagi merangkul emas selepas memperoleh 38.4 mata manakala wakil Indonesia Ahmad Zigi Zaresta Yuda mengutip 38.6 mata untuk muncul juara.
Pingat gangsa pula dikongsi Duc Pham Minh dari Vietnam dan wakil Filipina Enrico Logto Vascuez John.
Walaupun terlepas peluang menjuarai acara tersebut, atlet berusia 19 tahun itu tetap berpuas hati dapat memperbaiki pencapaian selepas pulang dengan gangsa pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.
"Ia amat tipis, saya juga tak jangka mara sejauh ini kerana dalam peringkat kumpulan, semua kuat. Terima kasih kepada jurulatih dan Persekutuan Karate Malaysia kerana memilih saya untuk mewakili negara, tak lupa juga kepada keluarga yang menyokong saya," katanya.
Selain Malaysia, Kemboja turut berkongsi gangsa acara kata berpasukan wanita manakala Vietnam muncul pemenang dan Indonesia pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
-- BERNAMA
#Sukan SEA Kemboja #skuad karate #pingat emas #C Shahmalarani