Sukan SEA: Skuad hoki dalam dewan lelaki, wanita negara terus 'menggila'
Bernama
Mei 2, 2023 21:04 MYT
Mei 2, 2023 21:04 MYT
PHNOM PENH: Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita kebangsaan terus mempamerkan taring dengan melakar kemenangan besar ke atas Filipina pada aksi kumpulan di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja di sini, hari ini.
Pasukan lelaki negara ternyata berada dalam kelas tersendiri ketika membelasah skuad lelaki Filipina 19-0 manakala pasukan wanita kebangsaan pula mudah menjinakkan skuad wanita lawan, 12-0, dalam saingan berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar.
Bagi acara lelaki, penyerang Faridzul Afiq Mohd meledak empat gol dengan jaringan pertama hadir menerusi pukulan sudut penalti seawal minit pertama diikuti minit ke-15, ke-21 dan ke-34 manakala pemain tengah, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan turut berkongsi jumlah jaringan sama melalui gol pada minit ke-16, ke-25, ke-26 dan ke-29.
Lima pemain negara masing-masing menyumbat dua gol iaitu Abdul Khaliq Hamirin (minit ketiga dan ke-12'), Muhammad Izham Azhar (keempat dan ke-25), Adam Aiman Mamat (kelapan dan ke-30), Danial Asyraf Abdul Ghani (ke-17 dan ke-30) dan Razali Mohd Hazemi (ke-28 dan ke-37) manakala Muhammad Firdaus Omar turut mencetak nama selaku penjaring menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23.
Selepas kejayaan menumpaskan Kemboja 10-1 dalam aksi sulung semalam, ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim gembira pemain terus komited dalam mengikut perancangan taktikal dilaksanakannya sehingga dapat menterjemahkan segala peluang terhidang dengan baik.
"Filipina mungkin baru dalam permainan hoki dalam dewan. Jadi, bagi game hari ini kita gunakan untuk mempertajamkan kelemahan terdapat pada perlawanan semalam bagi persiapan bertemu Thailand (4 Mei) dan Indonesia (6 Mei)," katanya selepas perlawanan.
Dalam pada itu, dua pemain skuad wanita cemerlang melakar hatrik ketika membantu Malaysia berpesta gol ke atas Filipina iaitu tonggak pertahanan, Fazilla Sylvester Silin yang mula merobek gawang lawan minit ke-11, ke-23 dan ke-35 dan penyerang Iren Hussin mencatat jaringan pertamanya pada minit ke-12 disusuli gol pada minit ke-13 dan ke-23.
Dua lagi pemain pula meledak dua gol iaitu Surizan Awang Noh (kelapan dan ke-29) dan Raja Norsharina Raja Shabudin (ke-16 dan ke-37) manakala Nuraslinda Said dan Nor Asfarina Isahyifiq Isahhidun masing-masing turut menemui sentuhan jaringan pada minit keenam dan ke-39.
Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara Mohd Badrul Hisham Osman berpuas hati menyaksikan peningkatan prestasi dipamer anak-anak buahnya pada perlawanan hari ini berbanding ketika membuka kempen semalam sewaktu membelasah Singapura 8-0.
Beliau juga berharap dapat memberikan tentangan sengit kepada pencabar utama mereka, Thailand, seterusnya memastikan Malaysia dapat mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ketiga esok.
-- BERNAMA