Sukan SEA: Skuad B-22 pulang awal, selepas tewas 3-1 menentang Kemboja

Faris Danial Razi
Disember 4, 2019 18:31 MYT
Skuad Harimau Malaya B-22 hanya membalas dengan sebuah gol yang disumbang Quentin Cheng pada saat terakhir iaitu minit ke-90. - Twitter @FAM_Malaysia
Kekalahan skuad Harimau Malaya bawah 22 tahun (B-22) kepada Kemboja (3-1) pada perlawanan peringkat kumpulan melenyapkan impian untuk mengumpul sebuah lagi pingat emas bagi Sukan SEA 2019.
Tiga gol kemenangan Kemboja yang terhasil semasa babak kedua perlawanan tersebut telah disumbang oleh In Sodavid pada minit ke-56, Sieng Chanthea pada minit ke-58 dan sebuah lagi pada minit ke-68 hasil tendangan Keo Sokpheng.
Manakala, skuad negara membalas dengan sebuah gol yang disumbang Quentin Cheng pada saat terakhir iaitu minit ke-90 pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Memorial Rizal, di Manila.
Ekoran itu, skuad kendalian Ong Kim Swee terpaksa pulang awal selepas mengakhiri kempen SEA Games dan tidak layak untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.
Kemenangan yang diperolehi pasukan Kemboja menjadikan pasukan itu melayakkan diri ke pusingan separuh akhir bersama juara kumpulan Myanmar sebagai wakil kumpulan A untuk pusingan separuh akhir Sukan SEA.
Dalam pada itu, kemenangan Filipina menentang pasukan Timor Leste (6-0) tidak menjanjikan skuad tuan rumah itu ke pusingan separuh akhir meskipun berkongsi mata yang sama dengan Kemboja kerana hasil gol yang diperolehi Kemboja lebih tinggi.
Setakat ini, skuad Malaysia sudah memperoleh 20 buah pingat emas sekali gus menempatkan negara di tempat ketiga di dalam ranking keseluruhan.
#bola sepak #Filipina #harimau Malaya #Harimau Malaysia #Kemboja #Malaysia #Myanmar #Ong Kim Swee #SEA Games #Sukan SEA
;