Sukan SEA: Silat sumbang tiga emas
Astro Arena
Jun 14, 2015 06:31 MYT
Jun 14, 2015 06:31 MYT
Tiga pingat emas berjaya dikutip skuad silat negara dalam lima pentas akhir yang berlangsung pada Ahad, di temasya Sukan Sea ke-28, Singapura.
Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Mohamed Nasir nyata beraksi cemerlang untuk memastikan emas, selain Muhammad Faizul M.Nasir yang berentap dalam acara Putra Kelas B (50-55kg) dihadiahkan emas setelah penyertaan lawannya, Nanthachai Khansakon, dibatalkan oleh ketua pengadil.
Penyertaan pesilat Thailand itu dibatalkan setelah beliau melakukan 'gerakan berat' yang menyalahi peraturan perlawanan, dan pingat gangsa pula menjadi milik Aprin Ardianto dari Indonesia dan Duy Phuong Vo dari Vietnam.
Bagi Jufferi pula, beliau dilihat mudah menumpaskan pesilat dari Vietnam, Hoang Vu Van dalam acara Tanding Kelas E (65-70kg), sekali gus mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu.
Begitu juga dengan pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir turut mempamerkan aksi hebat dengan menewaskan wakil dari Vietnam Thi Yen Nguyen dalam acara Tanding Kelas D (60-65kg).
Kedua-dua mereka menewaskan lawan masing-masing dengan keputusan 5-0.
Bagaimanapun, dua lagi wakil negara Muhammad Fahmi dan Muhammad Robial Sobri terpaksa berpuas hati dengan mengutip perak dalam pertandingan akhir di Dewan EXPO hari ini.
Ketangkasan dan kekuatan yang ditunjukkan Sobri dalam aksi acara Tanding Kelas H (80-85kg) itu cukup menarik, namun ia masih tidak memadai untuk menandingi pesilat peserta Indonesia, Juanda Samsul Bahar Tri, sebelum tumpas dengan 4-1.
Juanillio Ii Ballesta dari Filipina dan Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin dari Singapura meraih gangsa.
Sementara itu Muhammad Fahmi tumpas 5-0 kepada peserta dari Thailand, Pornteb PoolKaew dalam acara akhir Tanding Kelas D (60-65kg).
Gangsa pula menjadi milik Sapto Purnomo dan Noukhith Latsaphao dari Laos.