Sukan SEA: Shereen tepati ramalan raih emas
Sinar Harian
Mei 9, 2023 20:10 MYT
Mei 9, 2023 20:10 MYT
ATLET olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi pingat emas acara 400 meter (m) akhir wanita Sukan SEA Kemboja 2023.
Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh pada Selasa, rentak larian Shereen yang berpangkalan di Amerika Syarikat sukar digugat barisan pencabarnya.
Tampil sebagai antara prospek kontinjen Malaysia meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini, Shereen melintasi garisan penamat dengan catatan masa 52.53 saat (s).
Catatan itu sudah cukup untuk menumpaskan pesaing terdekatnya dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen yang merekodkan 53.27s, manakala Nguyen Thi Hang di tempat ketiga, 53.84s.
Sebelum ini, pelari berusia 24 tahun itu meleburkan rekod kebangsaan acara 400m yang berusia 30 tahun milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya di Filipina pada 1993.
Shereen berjaya memadam rekod berkenaan menerusi catatan masa 51.80s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California bulan lalu.
Sebelum itu, Shereen empat kali meleburkan rekod kebangsaan acara 400m dalam dewan dengan terbaharu ketika memenangi emas Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia. - Sinar Harian