Sukan SEA seminggu lagi, sudah timbul pelbagai kontroversi

Razak Chik
November 24, 2019 22:16 MYT
Mengikut Ketua Eksekutif PHISGOC, Ramon Suzara, memang ada sebab mengapa kawah api dengan lokasi pembukaan dipisahkan.
SUKAN SEA belum bermula lagi, tapi kontroversi sudah mula didengari.
Filipina di bawah pentadbiran Presiden Duterte menumpukan segala usaha dan menyediakan belanja yang tinggi untuk menjayakan penganjuran Sukan SEA ke-30 ini. Namun, isu 'luar stadium' yang sudah menjadi buah mulut.
Isu pertama dikaitkan dengan pembaziran dan kecekapan perbelanjaan melibatkan majlis pembukaan. Lebih tepat lagi, kos perbelanjaan membina kawah api yang menjadi simbol sukan antarabangsa yang dibiar kekal menyala sewaktu sedang berjalan nanti bermula 30 November hingga 11 Disember nanti.
Banyak spekulasi dibuat tentang lokasi kawah api Sukan SEA ke-30 yang terletak jauh dari stadium di mana upacara pembukaan akan diadakan.
Lokasi kawah itu di stadium balapan New Clark City terletak di Wilayah Tarlac - 90 kilometer dari Philippine Arena di Marilao, Wilayah Bulacan.
Lebih dari itu, kawah api Sukan SEA itu dibina pada harga 56 juta Peso Filipina (lebih dari RM4 juta). Ramai pengkritik melempar kecaman kerana kos yang dikira tidak munasabah.
Timbalan Chef-de-Mission Filipina Stephen Fernandez antara yang menyuarakan kekeliruan tentang jarak antara kawah dan lokasi acara pembukaan nanti.
“Lazimnya, penyalaan kawah Sukan SEA adalah istiadat yang tidak dapat dipisahkan dengan acara pembukaan,” katanya.
Sementara itu, ahli eksekutif Majlis Olimpik Filipina Steve Hontiveros pula membuat spekulasi bahawa 'api' Sukan SEA itu akan diterbangkan menggunakan helikopter.
Ada juga pemerhati sukan yang menggunakan nada sinis mengkritik bajet yang disifatkan terlalu besar untuk penganjuran Sukan SEA oleh Filipina sebagai tuan rumah.
Ada yang menjangka sebahagian daripada bajet yang begitu besar mungkin telah diperuntukkan untuk menggunakan gimik 'tele-transport' yang wujud dalam adegan fiksyen sains fantasi melibatkan jaguh gimnas Filipinaa Carlos Yulo dari Arena Filipina ke NCC.
Tambah mereka lagi, jawatankuasa penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) sehingga kini enggan berkongsi rancangan dan program yang sudah dirancang untuk majlis pembukaan pada 30 November nanti.
Mengikut Ketua Eksekutif PHISGOC, Ramon Suzara, memang ada sebab mengapa kawah api dengan lokasi pembukaan dipisahkan.
“Itu rahsia,” kata Suzara.
Sementara itu, Ketua Minoriti Senat Filipina Franklin Drilon mendedahkah sebuah bank Malaysia terlibat memberi pinjaman sebanyak 11 bilion Peso (hampir RM1 juta) bertujuan menampung sebahagian dari perbelanjaan penganjuran Sukan SEA ke-30 ini.
Berbalik ke gelanggang sukan, penganjur turut menerima kutukan kerana gagal menyambut ketibaan pasukan bola sepak Timor Leste dengan cara profesional.
Pasukan Timor Leste tiba di Lapangan Terbang Ninoy Aquino pada awal pagi terpaksa menunggu tiga jam untuk pengangkutan bas tiba. Malangnya, apabila tiba di kota Manila, mereka rupa-rupanya dibawa ke hotel yang salah!
Sebelum itu, pasukan Thailand membatalkan sesi latihan kerana padang yang disediakan terlalu jauh.
Myanmar pula yang tiba lebih awal menyuarakan bantahan lantaran tidak disediakan pengangkutan yang selesa untuk pasukan mereka.
#Filipina #Myanmar #NCC #obor sukan sea #Sukan SEA #Thailand
;