Sukan SEA: SAM kesal pengurus pasukan kontinjen Malaysia cuba serang wartawan

Bernama
Disember 17, 2013 11:55 MYT
Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan seorang pengurus pasukan kontinjen negara 'melayan' wartawan sukan Malaysia yang membuat liputan Sukan SEA ke-27 di Myanmar.
Sambil menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya terjadi, Presiden SAM Ahmad Khawari Isa berkata pegawai terbabit perlu bersikap profesional dan memahami tugas media.
"Jika benar insiden ini berlaku, sebagai Presiden SAM, saya kesal. Kita (SAM) memandang serius perkara ini kerana belum pernah insiden pegawai kontinjen Malaysia sendiri bersikap kasar terhadap wartawan tempatan yang membuat liputan temasya seperti ini.
"Beliau (pegawai terbabit) ada tugas lain yang lebih penting di sini (Myanmar) dan pada masa sama, beliau perlu menghormati tugas media," katanya.
Khawari berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung insiden berkenaan.
Insiden tersebut berlaku di bilik rehat pasukan sepak takraw negara sejurus selepas Malaysia tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir acara antara regu lelaki.
Ketika sekumpulan wartawan mahu mendapatkan komen jurulatih, Jamaluddin Hassan, pengurus pasukan sukan berkenaan cuba menyerang seorang wartawan media cetak kerana beliau mendakwa berita yang ditulis berunsurkan fitnah.
Pegawai terbabit dikatakan cuba menyerang dua kali terhadap wartawan tersebut namun dileraikan oleh seorang jurulatih pasukan berkenaan.
#Media #MOM #MSN #sea
;