Sukan SEA: Queenie Ting tekad perbaiki rekod kebangsaan
Bernama
April 11, 2022 17:59 MYT
April 11, 2022 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera wanita negara Queenie Ting Kung Ni, bertekad memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sekali gus meraih pingat pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan.
Bagi mencapai hasratnya, atlet berusia 24 tahun itu berkata beliau perlu mengekalkan konsistensi dan teknik lemparan terbaik pada temasya dwitahunan itu yang dijadualkan pada 12 hingga 23 Mei ini.
"Persiapan kali ini rapi dengan objektif utama untuk mendapatkan pingat. Tetapi saya dan jurulatih (Mohamad Ali Hamid) ada berbincang untuk melakukan lemparan melebihi 50.67m di Hanoi nanti," katanya pada sidang media skuad olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Berdasarkan pencapaian semasa, Queenie Ting yang meraih pingat gangsa temasya Sukan SEA 2019 di Filipina (45.28m), melakukan lemparan sejauh 47.67m di Kejohanan KL Allcomers pada 26 Mac lepas.
Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil yakin sasaran lima pingat ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi edisi kali ini adalah sasaran yang realistik.
"Dengan barisan atlet sebanyak 36 orang termasuk 18 di bawah Kategori A (melepasi had tiga terbaik edisi lepas), saya yakin ia sasaran realistik berdasarkan pencapaian semasa atlet. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita akan dapat lebih daripada lima emas itu," katanya.
Mohd Manshahar juga menegaskan barisan atlet dipilih kali ini adalah yang terbaik dengan pemilihan dibuat secara keputusan majoriti pada mesyuarat pemilihan diadakan bulan lepas.
Beliau berkata 13 atlet, khususnya daripada Kategori A akan menyertai Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Singapura ke-82 pada hujung minggu ini sebagai persiapan akhir menjelang Sukan SEA Hanoi.
Mohd Manshahar turut memaklumkan beberapa atlet yang kini berada di luar negara seperti atlet baling tukul besi (lelaki) Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei (wanita) yang sedang berlatih di Korea Selatan, serta pelari pecut lelaki Russel Alexander Nasir Taib (Melbourne, Australia) akan terus ke Hanoi pada bulan depan.
Sementara itu, pengurus pasukan John Ayavu berkata segala perancangan dan percaturan skuad olahraga negara berjalan lancar, dan berharap kejohanan di Singapura akan digunakan sebaik mungkin sebagai gelanggang pemanas badan.
"Kita juga berharap atlet dapat menggunakan peluang di Singapura untuk mengukur prestasi masing-masing menentang lawan mereka dari negara-negara Asia Tenggara lain yang bakal bertanding di Hanoi," katanya.
-- BERNAMA