Sukan SEA: Queenie mahu lakar sejarah raih emas lempar cakera wanita

Bernama
Mac 6, 2023 17:37 MYT
Queenie akui berdepan cabaran sengit untuk memecahkan dominasi atlet Thailand, Subenrat Insaeng yang merangkul emas Sukan SEA sejak 2011. - Bernama
KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni mengidam untuk melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia meraih pingat emas acara berkenaan di temasya Sukan SEA.
Namun, Queenie mengakui bakal berdepan cabaran sengit untuk memecahkan dominasi atlet Thailand, Subenrat Insaeng yang merangkul emas Sukan SEA sejak 2011, selain berpengalaman beraksi di Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Pada edisi 2021 di Hanoi, Mei tahun lepas, atlet berusia 25 tahun kelahiran Sarikei, Sarawak, itu hanya ketinggalan 0.73 meter (m) di belakang Subenrat (53.09m), untuk meraih perak dengan catatan rekod kebangsaan 52.36m.
Queenie, yang kemudian memperbaiki rekod kebangsaan itu dengan lemparan sejauh 52.77m pada Kejohanan Olahraga Grand Final Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Disember lepas, kini berhasrat untuk melakukan catatan 55m pada Sukan SEA 2023 Kemboja yang dijadualkan bermula 5-17 Mei di Phnom Penh.
"Saya sangat bersemangat untuk memenangi pingat emas pertama negara dalam acara cakera wanita. Ia bukan mudah apabila berdepan Subenrat, tetapi apa-apa boleh terjadi pada hari pertandingan, jadi saya dan jurulatih Mohamad Ali Hamid akan terus bekerja keras untuk mencapai misi itu.
"Sasaran untuk Sukan SEA adalah 55m ke atas, dan kemudian ia akan dinaikkan kepada 58m bagi Sukan Asia Hangzhou (23 Sept hingga 8 Okt) di China," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Mengikut prestasi semasa, Subenrat, yang merupakan pemegang rekod kebangsaan Thailand dengan lemparan 61.97m yang dilakukan pada Julai 2018 di Republik Czech, mencatatkan 54.78m pada Terbuka Thailand, hujung November lepas.
Sementara itu, Queenie, yang menjadi atlet wanita pertama Malaysia melakukan lemparan melepasi 50m pada November 2021, dijangka akan menyertai Sirkit IPT pada hujung minggu ini, selain merancang untuk latihan selama dua minggu di Australia sebagai persiapan ke Kemboja.
Sekiranya mendapat kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk ke Australia, beliau turut merancang untuk menyertai dua kejohanan di sana, termasuk Terbuka Australia bermula 30 Mac hingga 2 April.
"Kita masih menunggu kelulusan daripada MSN untuk menyertai pertandingan di sana. Namun, sekiranya tidak dapat kelulusan, saya akan meneruskan latihan di MSN, Bukit Jalil kerana di sini pun kita mempunyai fasiliti yang baik," katanya.
Di kala Thailand menguasai acara lempar cakera wanita pada temasya dwitahunan itu, Malaysia pula mendominasi lempar cakera lelaki apabila Muhammad Irfan Shamsuddin meraih emas untuk lima kali berturut-turut sejak 2013.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #lempar cakera #Queenie Ting Kung Ni #pingat emas
;