Sukan SEA: PSM tagih khidmat pakar chinlone dari Myanmar
Bernama
Februari 23, 2023 13:47 MYT
Februari 23, 2023 13:47 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mendapatkan khidmat pakar dari Myanmar dalam usaha mencerahkan peluang Malaysia meraih pingat emas dalam acara chinlone pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, Mei ini.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata menerusi pembabitan kepakaran dari negara tersebut pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menyaksikan skuad chinlone negara berhasil membutirkan satu pingat emas bagi acara itu.
"PSM belum lagi mempunyai calon namun sedang berbincang dan berusaha ke arah itu. Khidmat (pakar) akan diguna sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja kerana itu sukan tradisi mereka.
"Pada Sukan SEA 2017, kita memang menggunakan kepakaran dari Myanmar dan hasilnya kita berjaya dapat satu emas dalam acara chinlone linking," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengenai persediaan Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung pada 5 hingga 16 Mei, Mohd Sumali berkata 37 atlet lelaki meliputi atlet sedia ada dalam kem kebangsaan dan atlet baharu telah disenarai pendek untuk menghadiri sesi pemilihan skuad sepak takraw lelaki kebangsaan mulai esok hingga Ahad.
"Menerusi pemilihan ini, seramai 25 atlet akan dipilih menyertai kem kebangsaan untuk persiapan ke Sukan SEA Kemboja selain Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang bakal berlangsung pada tahun ini," katanya.
Badan induk sepak takraw negara itu sebelum ini meletakkan sasaran dua emas masing-masing bagi sepak takraw acara beregu dan chinlone daripada keseluruhan 22 emas yang ditawarkan di gelanggang sepak takraw pada temasya dwitahunan itu.
-- BERNAMA