Sukan SEA: Prabudass tidak bertanding kerana masalah kesihatan

Bernama
Mei 19, 2022 13:26 MYT
K. Prabudass terpaksa menarik diri atas nasihat pakar perubatan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini. - Stadium Astro
HANOI: Pelari jarak sederhana negara K. Prabudass terpaksa melupakan hasrat terlibat dalam aksi kompetitif buat masa ini susulan masalah kesihatannya yang turut menyaksikan beliau tidak dibenarkan beraksi di Sukan SEA ke-31 di sini.
Pelari berusia 32 tahun itu, sepatutnya mengambil bahagian dalam acara 1,500m, 5,000m dan 10,000m lelaki, tetapi terpaksa menarik diri atas nasihat pakar perubatan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.
"Beliau mungkin telah menyumbangkan satu atau dua pingat emas jika berada pada keadaan baik, tetapi tidak dapat beraksi kerana masalah kesihatan. Kita akan terus memantau kesihatannya," kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan Manshahar Abdul Jalil berkata Prabudass kini berada dalam keadaan sihat dan stabil dan pihaknya bersedia untuk menghantar atlet itu pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
"Pada awalnya dia mengadu ada masalah kesihatan selepas menerima rawatan daripada pakar Institut Sukan Negara (ISN), dan hospital pakar di Vietnam juga telah dirujuk untuk rawatan.
"Walaupun beliau stabil, kita tidak mahu mengambil risiko, selain pihak ISN, pakar perubatan Vietnam juga menasihatkan agar tidak bertanding. Kita terima hakikat, selepas ni dia tahu lah nak buat apa," katanya.
Prabudass mempunyai catatan semusim terbaik 3:54.23s bagi acara 1,500m pada April lepas, yang mengatasi catatan Luong Duc Phuoc (3:54.37) dari Vietnam untuk meraih emas Sukan SEA kali ini.
Bagi acara 5,000m, beliau pernah merekodkan catatan terbaik peribadi 14:33.10s di Jepun pada Mei 2019, yang turut mengatasi masa wakil tuan rumah Nguyen Van Lai (16:34.10) bagi merangkul emas. Namun catatan terbaik musim ini adalah 14:44.45s yang dilakukan ketika Terbuka Malaysia Mac lepas.
Prabudass juga merupakan pemegang rekod kebangsaan acara separuh maraton dengan catatan 01:07:00s yang dicatatkan di Sapporo, Jepun pada Mei 2021.
-- BERNAMA
#k prabudass #Sukan SEA #Hanoi #Pelari jarak sederhana
;