Sukan SEA: Pingat gangsa buat atlet jalan kaki
Astro Arena
Jun 6, 2015 00:27 MYT
Jun 6, 2015 00:27 MYT
Tiada apa yang mampu diluahkan oleh atlet jalan kaki negara, Muhammad Khairil Harith Harun kecuali menghadiahkan pingat gangsa Sukan SEA ke-28 di sini kepada jurulatihnya, V. Subramaniam, yang tidak dapat hadir.
Atlet kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu menamatkan perlumbaan bagi acara 20km jalan kaki lelaki dengan catatan masa satu jam, 40 minit dan 57 saat pada aksi yang berlangsung di East Coast Park di sini.
Pingat emas acara tersebut menjadi milik atlet Indonesia, Hendro Hendro dengan catatan masa 1:34.23s, manakala pingat perak disandang oleh atlet Vietnam, Vo Xuan Vinh (1:38.38's)
Muhammad Khairil Harith, 23, berkata beliau berpuas hati dengan aksinya hari ini walaupun tanpa jurulatih.
"Alhamduillah saya rasa bersyukur atas pencapaian ini namun sedikit terkilan kerana gagal mengatasi catatan masa peribadi terbaik 1:29:40s yang dilakukanya sebelum ini pada Sirkit Jalan Kaki Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) pertama di Kuala Lumpur pada 2013," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya kejayaan itu turut mengubat duka apabila gagal meraih sebarang pingat pada Sukan SEA edisi Myanmar dua tahun lepas.
"Di Myanmar saya gagal menamatkan perlumbaan dengan hanya berbaiki 200m ke garis penamat, namun hari ini saya bukan hanya berjaya tamatkan perlumbaan malah meraih pingat," katanya.
Sementara itu, Elena Goh Ling Yi, yang beraksi dalam acara wanita, terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1:51.56s
"Saya tidak berpuas hati dengan persembahan hari ini namun berharap mampu melakukan persembahan yang baik pada kejohanan berikutnya...lagipun ini adalah penyertaan pertama saya di Sukan SEA dan harus menimba lebih pengalaman untuk memajukan dalam sukan ini," katanya.