Sukan SEA: Pentas tingkat prestasi, atlet mampu lepasi sasaran - Ahmad Faizal
Abd Razak Mohd Ali
April 24, 2022 08:00 MYT
April 24, 2022 08:00 MYT
IPOH: Atlet perlu menggunakan temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam, dari 12 hingga 23 Mei depan sebagai pentas bagi meningkatkan prestasi untuk menghadapi kejohanan yang lebih besar.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun sasaran awal ialah 31 pingat emas tetapi atlet negara mampu untuk menambah bilangan itu.
Sambil menyifatkan sasaran itu sebagai realistik, beliau berkata, ia dibuat selepas mempertimbangkan semua aspek, termasuk prestasi atlet-atlet negara lain yang mengambil bahagian.
"Kita letak sasaran itu sebab kita hendak capai, bukan kita letak untuk seronok-seronok atau kita hendak ambil mudah supaya ia mudah dicapai.
"Saya kira, sasaran ini dibuat dengan realistik, walaupun saya sendiri, seperti orang ramai, berharap kita dapat lebih dari 31.
"Kita perlu berusaha daripada sekarang untuk dapat lebih daripada yang kita sasarkan.
"Tetapi, apa yang jauh lebih penting, saya mohon, saya gesa, atlet berusaha sungguh-sungguh agar mereka dapat sekurang-kurangnya memperbaiki keputusan peribadi masing-masing.
"Itu akan lebih baik bagi saya, kerana momentum itu yang kita hendak bawa kepada kejohanan kerajaan lebih besar di Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel," katanya.
Beliau ditemui semasa program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Tambun dekat sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Malaysia meletakkan sasaran awal untuk memperoleh 31 pingat emas, 19 pingat perak dan 29 pingat gangsa pada Sukan SEA Hanoi
Menurutnya, sasaran itu ditetapkan bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan berdasarkan perkembangan dan perbandingan prestasi semasa atlet negara.