Sukan SEA: Pencapaian di Singapura sekadar pemanas badan skuad olahraga negara - Zaki Sadri

Astro Arena
Mei 1, 2023 23:14 MYT
Menurut Zaki, untuk Terbuka Singapura, ia dilihat sebagai pendedahan dan untuk atlet menyesuaikan diri dengan pertandingan. - Stadium Astro
PENCAPAIAN cemerlang skuad olahraga negara di Terbuka Singapura, dengan meraih 13 emas, 8 perak dan 3 gangsa masih belum mencukupi buat ketua jurulatih olahraga, Mohd Zaki Sadri, yang menyifatkan kejohanan itu hanya sesi pemanas badan sebelum ke Kemboja.
Tambahnya, dengan ketiadaan prospek emas dalam acara lompat tinggi iaitu Nauraj Singh dan pemegang rekod kebangsaan 200 meter, Russel Alexander Nasir Taib, sememangnya satu kekurangan buat skuad negara.
"Untuk Terbuka Singapura, ia dilihat sebagai pendedahan dan untuk atlet menyesuaikan diri dengan pertandingan. Atlet-atlet masih lagi belum berada di kemuncak prestasi lagi," kata Zaki.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk R. Annamalai, optimis kem olahraga akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan lebih baik berbanding lima emas yang diraih dalam edisi lalu.
"Semua atlet akan menghadirkan persembahan terbaik di Kemboja, kami berharap kami memperoleh pencapaian yang lebih baik berbanding Sukan SEA terdahulu," katanya.
*Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
#skuad olahraga #Terbuka Singapura #Sukan SEA #Kemboja #zaki sadri
;