Sukan SEA - Olahraga: Irfan tiada tandingan di Asia Tenggara

Astro Arena
Disember 10, 2019 06:12 MYT
Muhammad Irfan menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara Lempar Cakera Lelaki pada Sukan SEA 2019 di Stadium Olahraga New Clark City, 10 Dis, 2019. --fotoBERNAMA
LAPAN pesaing negara yang lain gagal menggugat kehebatan lontaran cakera Muhammad Irfan Shamshuddin apabila atlet Malaysia itu menepati ramalan untuk mengesahkan pingat emas dalam empat edisi Sukan SEA berturut-turut apabila menawan temasya di Filipina, pada Selasa.
Irfan hanya sempat membuat lontaran pertama dalam aksi di Stadium Olahraga New Clark itu dengan merekodkan 57.29 meter dan ia ternyata gagal ditandingi selepas itu biarpun oleh pemenang perak, Morrison William II, yang melakar 51.38m, disusuli pemenang gangsa dari Thailand, Benjaroon Narong, yang mencatat 51.29m.
Seorang lagi peserta negara, Abdul Rahman Lee, pula mengisi tempat keempat.
Kejayaan atlet berumur 24 tahun itu sekali gus melengkapkan sasaran lima emas yang ditetapkan ke atas skuad olahraga.
"Alhamdulillah ini kejayaan saya buat kali keempat. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan yang banyak membantu dan ketiga-tiga jurulatih, yang salah seorang daripadanya bayar saya pakai duit sendiri.
"Terima kasih khususnya kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan menteri besar Johor dan Khairy Jamaluddin yang menolong saya untuk dapat menyertai kem (latihan).
"Pada awalnya saya mahu menang dengan sasaran untuk mengatasi rekod Malaysia (62.55m) kerana dalam prestasi dan mempunyai perasaan yang baik mengenainya.
"Namun, dua minggu sebelum temasya, ligamen jari kaki tengah saya terkoyak sepanjang 1 sentimeter.
"Jadi saya ingin berterima kasih kepada Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kerana meyakinkan saya untuk mengambil suntikan (bagi tujuan pemulihan).
"Tetapi saya percaya dengannya," katanya.
#lempar cakera #Muhammad Irfan Shamsuddin #olahraga #pingat emas #Sukan SEA
;