Sukan SEA: Nur Dhabitah tolak tepi impian sumbang emas pertama negara
Bernama
Mei 7, 2022 15:11 MYT
Mei 7, 2022 15:11 MYT
HANOI: Muncul sebagai penyumbang pingat emas sulung Malaysia di Sukan SEA ke-31 tidak menjadi fokus utama atlet terjun wanita elit negara, Nur Dhabitah Sabri yang bakal memulakan acaranya di Pusat Akuatik My Dinh, di sini esok.
Nur Dhabitah yang akan turun bersaing dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita bersama rakan senegara Kimberly Bong Qian Ping, mengakui tidak memikirkan mengenai perkara itu kerana enggan meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya.
Beliau yang turut dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya sukan dwitahunan itu Khamis depan, hanya mahu menikmati terjunannya dan menampilkan persembahan terbaik selepas kali terakhir beraksi di pentas antarabangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lepas.
"Saya cuma nak fokus pada waktu itu saja (acara), tak nak fokus tentang emas atau apa-apa perkara lain selain daripada persembahan saya dan tak kisah, janji yang menang (pingat emas) dari Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Bagaimanapun, merangkul pingat emas acara itu menjadi sasaran Nur Dhabitah yang turut akan menggalas cabaran negara dalam acara 10m platform seirama wanita bergandingan bersama ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong Pamg.
Pada masa sama, pemenang pingat emas Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu yang telah menuai empat emas sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak 2013 turut mengakui perasaan gementar antara cabaran yang perlu diatasi setiap kali turun bertanding.
Katanya, beliau juga tidak sesekali memandang rendah cabaran di Sukan SEA walaupun sudah mencapai status penerjun elit dengan pelbagai koleksi pencapaian membanggakan di pentas tertinggi.
"Semua pertandingan saya anggap sama, ia satu proses pembelajaran macam mana saya nak atasi perasaan gementar itu. Ketika di Olimpik (Tokyo), Alhamdulillah saya dapat cari cara mengatasinya, jadi saya harap di Sukan SEA dapat buat cara sama dan berharap ia menjadi," jelas anak bongsu daripada empat beradik itu.
Selain Nur Dhabitah dan Kimberly, gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang turut dijadual turun memburu pingat emas dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki di venue sama, esok.
Pada edisi Sukan SEA kali ini, kem terjun negara dibarisi 16 atlet menyasarkan untuk menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan sekali gus mengulangi pencapaian sama pada edisi 2019 di Filipina.
Sukan SEA ke-31 dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal.
Sukan terjun membuka saingan bermula dari 8-11 Mei dengan dua pingat emas menjadi rebutan pada hari pertama.
-- BERNAMA