Sukan SEA Myanmar: Malaysia belasah Laos 4-1
Munirah A Sani
Disember 13, 2013 19:30 MYT
Disember 13, 2013 19:30 MYT
Malaysia meneruskan kempen mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA Myanmar dengan menumpaskan Laos 4-1 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri di sini, Jumaat.
Skuad Harimau Muda A di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila penyerang Ahmad Hazwan Bakri meledakkan gol pertama seawal minit ke-19.
Namun keceriaan skuad negara tidak bertahan lama apabila pemain Laos, Soukapone menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-42.
Babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.
Corak separuh masa kedua bermula garang apabila kedua-dua pasukan saling melakukan cubaan, namun pasukan Malaysia jelas kelihatan memiliki penyudah yang tumpul ekoran beberapa peluang selesa untuk menambah jaringan dibazirkan dengan sepakan yang acapkali tersasar jauh dari gawang.
Malaysia kembali di depan hasil jaringan kedua Hazwan Bakri di minit ke-61, sekaligus menampakkan Laos terus memperkemaskan permainan dengan beberapa cubaan gol.
Kesilapan pemain Laos di hadapan gawang sendiri memarutkan luka buat skuad itu apabila tampanan pemain Laos itu menghasilkan jaringan sendiri dalam cubaan menghalang gol skuad negara.
Dengan baki perlawanan kurang sepuluh minit, barisan 'harimau' negara memulakan asakan bertali arus.
Hazwan Bakri muncul hero perlawanan apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-87 untuk meletakkan Malaysia selesa 4-1 di hadapan Laos sehingga tamat masa penuh perlawanan.
Kemenangan kedua hari ini memberikan tiga mata penuh kepada Malaysia dengan baki dua perlawanan sebelum menamatkan saingan kumpulan. Pada Selasa, skuad negara memenangi perlawanan pertama menetang Brunei dengan jaringan 2-0.
Malaysia bakal bertemu Singapura esok dan seterusnya Vietnam pada 17 Disember.