Sukan SEA: MOM beri amaran buat tiga persatuan gagal lunas hutang
Astro Arena
April 9, 2019 23:15 MYT
April 9, 2019 23:15 MYT
TIMBALAN Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, memberi amaran kepada tiga persatuan sukan yang belum melunaskan hutang dengan badan induk itu sambil berkata pihaknya tidak akan membenarkan mereka menghantar atlet ke Sukan SEA Filipina, November depan.
Tiga persatuan berkenaan perlu melunaskan hutang yang berjumlah ratusan ribu ringgit sebelum dibenarkan untuk menghantar atlet ke temasya itu.
Salah satu daripada persatuan itu masih belum membuat sebarang bayaran kepada MOM, yang mengeluarkan kos bagi menampung atlet ke Sukan Asia Indonesia tahun lalu.
Situasi itu menyaksikan Malaysia mungkin terpaksa mengecilkan kontinjen ke Filipina.
"Terdapat persatuan yang masih belum melakukan sebarang pembayaran sejak Sukan Asia Indonesia lalu.
"Mereka tidak menjawab panggilan kami. Mungkin nombor telefon pun sudah bertukar.
"Jadi, saya berharap mereka dapat menghubungi MOM dengan kadar segera," katanya.
Buat masa ini, Malaysia dijangka akan menyertai 45 jenis sukan di Filipina.
Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah dengan diperkuatkan seramai 844 atlet yang kemudian muncul juara keseluruhan.
"Selain daripada 45 jenis sukan ini, terdapat juga atlet daripada sukan-sukan lain yang bukan ahli gabungan MOM.
"Kami tidak boleh menidakkan penyertaan mereka dan sedang meneliti permohonan mereka," tambahnya.
#Abdul Azim Mohd Zabidi
#Asia
#atlet
#Filipina
#hutang
#Indonesia
#kontinjen terbesar
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#MOM
#Olimpik
#persatuan sukan
#Sukan Asia I
#Sukan SEA