Sukan SEA: Malaysia gagal pertahan 'ibu segala pingat'

Bernama
Disember 19, 2013 20:48 MYT
Foto Bernama
Impian skuad bola sepak negara untuk mengekalkan pingat emas pada Sukan SEA ke-27 berkecai apabila kalah 4-3 menerusi sepakan penalti kepada Indonesia pada perlawanan separuh akhir di Stadium Zayar Thiri di sini hari ini.
Perlawanan ulangan final edisi 2011 itu terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit apabila keputusan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit perlawanan.
Pada Sukan SEA Indonesia 2011, Malaysia merangkul emas selepas menundukkan pasukan tuan rumah 4-3, juga menerusi penentuan sepakan penalti.
Pada aksi hari ini, penyerang berbisa Yohanes Ferinando Pahabol membalas dendam pasukan Garuda Muda apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir selepas kedudukan terikat 3-3.
Dalam lima sepakan penalti, percubaan pemain negara A. Thamil Arasu dan Shahrul Mohd Saad berjaya diselamatkan oleh penjaga gol merangkap kapten Indonesia, Kurnia Meiga Hermansyah.
Bagaimanapun, Nazmi Faiz Mansor, Mohamad Fadhli Mohd Shas dan Mohamad Rozaimi Ab Rahim menyempurnakan tendangan penalti.
Kedua-dua pasukan itu memulakan perlawanan dengan rentak perlahan tetapi berhati-hati sebelum Thamil Arasu melakukan cubaan bahaya menerusi sepakan deras daripada luar kotak penalti pada minit ke-10.
Indonesia cuba membalas pada minit ke-25 menerusi rembatan kencang Yandi Sofyan Munawar tetapi percubaan itu melepasi palang gol yang dikawal rapi oleh Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Kecelaruan pada benteng pertahanan negara membuka peluang kepada penyerang Bayu Gatra Sanggiawan untuk membantu Indonesia mendahului 1-0 pada babak pertama, hasil jaringan pada minit ke-30.
Tersentak dengan ketinggalan satu gol, Malaysia meningkatkan usaha mencari gol penyamaan dengan mengasak benteng pertahanan Indonesia namun percubaan D. Saarvindran pada minit ke-80 dinafikan oleh penjaga gawang Indonesia.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, Indonesia mengasak kembali gawang gol negara apabila Yandi Sofyan Munawar melakukan cubaan menerusi sepakan pada minit ke-68 namun berjaya ditepis keluar oleh Mohd Izham Tarmizi.
Tertekan dengan ketinggalan 0-1, Malaysia kembali melakukan serangan apabila sepak deras yang dilakukan oleh D. Saarvindran pada minit ke-80 dinafikan oleh penjaga gawang Indonesia.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee akhirnya menarik nafas lega apabila Thamil Arasu menyamakan kedudukan pada minit ke-84 sebelum mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Kim Swee berkata beliau tidak menyalahkan mana-mana pemain sebalik kurang bernasib baik dalam penentuan penalti.
"Pemain telah bermain dengan bersungguh-sungguh apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 namun nasib tidak menyebelahi pasukan kita malam ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Kim Swee turut memuji corak permainan Indonesia yang disifatkan lebih baik berbanding dua tahun lepas.
"Sekiranya Indonesia mengekalkan momentum ini, mereka tidak mempunyai masalah untuk merangkul emas pada final Sabtu ini," katanya.
Sementara itu, jurulatih Indonesia, Rahmad Darmawan, yang bangga dengan persembahan anak buahnya, berkata barisan pemainnya semakin mantap berbanding dua tahun lepas.
"Kami sudah bersedia menghadapi pasukan yang lebih kuat pada final nanti," katanya.
#bola sepak #Sukan SEA
;