Sukan SEA: Kriket wanita menang pusingan pertama di Kemboja

Bernama
April 29, 2023 22:34 MYT
GAMBAR FAIL: Skuad kriket wanita negara yang beraksi dalam acara T10, T20 dan 50 over bergambar sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja, bagi menyertai Sukan SEA 2023. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad kriket wanita negara memulakan kempen Sukan SEA ke-32 di Kemboja dengan langkah kanan apabila mengatasi Singapura dengan 38-37 larian dalam peringkat kumpulan acara Ten10 (T10) di Phnom Penh, hari ini.
Perlawanan Kumpulan A-Z di Kriket Oval, Hun Sen Boulevard itu sudah pasti menuntik semangat skuad negara untuk terus memberi saingan sengit apabila bertemu Thailand pada Ahad depan (7 Mei).
Bagi saingan T10, skuad negara yang dibarisi 15 pemain diundi bersama Thailand dan Singapura dalam Kumpulan A manakala bagi acara Twenty20 (T20) pula menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina serta Myanmar.
Saingan 50-overs pula menyaksikan Malaysia sekali lagi diundi bersama Thailand dan Myanmar dalam Kumpulan A.
-- BERNAMA
#skuad kriket wanita #Sukan SEA #Kemboja #peringkat kumpulan acara Ten10
;