Sukan SEA: Keputusan berani Pesaka buahkan hasil
Bernama
Mei 14, 2023 21:03 MYT
Mei 14, 2023 21:03 MYT
PHNOM PENH: Keputusan berani diambil skuad silat negara dengan mempertaruhkan majoriti muka baharu pada Sukan SEA 2023 adalah langkah tepat apabila muncul antara pasukan terbaik buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.
Menyenaraikan 14 muka baharu daripada 19 pesilat pada edisi kali ini, skuad silat negara meraih keseluruhan empat pingat emas, lima perak dan empat gangsa, sekali gus mengatasi sasaran dua emas.
Pencapaian empat pingat emas skuad silat negara adalah menerusi gandingan pesilat kembar Muhammad Danial Azray Noorazizan dan Muhammad Danial Azrol dalam acara seni ganda putra.
Selain itu, emas disumbangkan Norsyakirah Muksin dalam kategori 40-45 kilogram (kg) Putri, Nor Farah Mazlan (45-50kg Putri) dan Muhammad Izzul Irfan Marzuki (60-65kg Putra).
Biarpun sebelum ini ada pihak meragui keupayaan barisan pesilat negara, rata-ratanya terdiri daripada atlet muda yang tiada pengalaman bertanding bagi membawa cabaran Malaysia di temasya sukan serantau ini di Kemboja, mereka sebenarnya membuktikan mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik.
Merumuskan pencapaian kem silat negara pada acara itu yang berakhir pada Rabu lepas, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengakui pencapaian pesilat kebangsaan adalah luar biasa.
Beliau turut menghargai pengorbanan dan semangat juang tinggi ditampilkan pesilat negara sama ada yang memenangi pingat atau sebaliknya kerana ada antara mereka bertarung dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
"Saya cukup berpuas hati dengan prestasi pasukan, bukan sahaja atlet menyumbang pingat, malah yang tersingkir awal juga memberi petanda positif buat Pesaka. Mereka memberi segalanya dalam pertarungan, contohnya Farah mengalami kecederaan serius di tangan.
"Walaupun sebelum ini kita sebut sasaran dua emas, dalam hati kecil saya mereka mampu memberikan lebih daripada itu. Alhamdulillah, ini satu percaturan yang kami ambil untuk bubarkan skuad negara selepas Kejuaraan Silat Dunia di Melaka tahun lepas dan beri peluang kepada pesilat muda.
"Ramai memberi pandangan dan menyatakan keputusan menghantar pesilat muda tidak tepat. Saya hargai pandangan itu, namun Alhamudillah percaturan kita tepat. Selain itu, kita bawa bekas pesilat negara Mohd Fauzi Khalid dan Siti Rahmah Mohamed Nasir sebagai jurulatih dan ia membuahkan hasil," katanya.
Namun, beliau berkata perjalanan pesilat muda itu masih jauh dan mereka tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian diraih pada temasya kali ini.
Menurut Megat Zulkarnain selepas temasya ini, skuad negara dijadual menyertai kejuaraan terbuka silat di Eropah dan Asia, dan paling penting menghadapi Kejuaraan Silat Dunia pada awal tahun hadapan.
Sebelum menyertai temasya kali ini, beliau berkata pesilat muda didedahkan dengan Kejuaraan Silat Asia di Kashmir dan Kejohanan Terbuka Piala Premier di Sarawak dua bulan lepas.
-- BERNAMA