Sukan SEA Kemboja: Tiga emas jadi idaman kriket
Astro Arena
April 10, 2023 22:47 MYT
April 10, 2023 22:47 MYT
Skuad kriket negara bertekad membaharui pencapaian Sukan SEA 2017 dengan menyasarkan sebanyak tiga pingat emas dan tiga pingat perak di Kemboja.
Jurulatih kriket negara, Bilal Asad, berkata persiapan rapi yang dilakukan skuad negara menyaksikan mereka mampu merealisasikan sasaran tersebut.
Saingan utama negara ialah Singapura tetapi Bilal tidak begitu gusar berikutan skuad kebangsaan pernah menewaskan Singapura beberapa kali sebelum ini.
"Pasukan yang mampu beri tentangan sengit kepada kami ialah Singapura.
"Baru-baru ini kami ada mengatur dua pertemuan T20 dengan mereka dan memenanginya.
"Sebelum itu kami turut mengadakan aksi pemanas badan T20 dan 50 over dengan mereka.
"Kami tidak kira siapa yang bakal dihadapi tapi apa yang penting ialah mencapai tiga emas.
"Kami tiada matlamat lagi selain daripada tiga emas itu," katanya.
Sementara itu, kapten negara, Ahmad Faiz Mohammad Noor, tidak memandang mudah pihak lawan selagi emas belum berada di dalam genggaman.
"Ini peluang keemasan untuk kami dalam Sukan SEA.
"Dalam kalangan pencabar, kami dianggap sebagai pilihan tetapi barisan tetap fokus (dengan perjuangan asal)," katanya.