Sukan SEA Kemboja: Sepak takraw perkemas persiapan di Thailand
Astro Arena
April 12, 2023 00:13 MYT
April 12, 2023 00:13 MYT
Hari kedua perlawanan ujian sepak takraw menentang pasukan tempatan Thailand sebagai persiapan ke Sukan SEA Kemboja, bulan depan, yang menyaksikan peningkatan prestasi skuad kebangsaan.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, yang turun padang berkata inisiatif pertemuan ini sudah menampakkan penambahbaikan berbanding hari pertama.
Sumali berharap setiap pemain agar meneruskan momentum positif itu hingga hari terakhir pada Khamis sebelum senarai akhir pemain ke temasya dwitahunan berkenaan diumumkan.
"Ia amat membantu sebab kami melawan pasukan yang kuat, iaitu Universiti Pathum Thani di Thailand.
"Mereka adalah pasukan yang mantap.
"Pemain negara serius menghadapi mereka berdasarkan kemampuan pihak lawan," katanya di Astro Arena pada Rabu.
Turut difahamkan pakar acara chinlone dari Myanmar, Thu Ya Zaw, akan melaporkan diri Ahad ini bagi membantu skuad kebangsaan mencapai sasaran pingat emas.
"Bermula bulan ini, pakar penasihat dari Myanmar akan membantu kami dalam acara chinlone.
"Itu pun tidak banyak masa, mungkin ada dua minggu sahaja untuk beliau memberi penekanan dan latihan intensif.
"Kami lebih fokus kepada pasukan lelaki untuk hasilkan pingat untuk negara memandangkan wanita ada dua acara iaitu sepak takraw dan chinlone," katanya.