Sukan SEA Kemboja: Pembawa Jalur Gemilang
Astro Arena
April 12, 2023 21:50 MYT
April 12, 2023 21:50 MYT
Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, difahamkan menjadi antara calon yang dipertimbangkan sebagai Pembawa Jalur Gemilang Sukan SEA 2024.
Jackie serta beberapa calon lain; antaranya atlet karate R. Shamendran dan perenang Khiew Hoi Yean disebut-sebut antara tujuh atlet yang tercalon.
Namun, teka teki Pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Kemboja hanya akan diketahui minggu depan.
Chef-de-mission (CDM) Malaysia, Datuk Mohd Nasir Ali, mengesahkan sudah mengenal pasti senarai tujuh orang calon berkaliber dan lima daripadanya adalah atlet lelaki dan dua wanita.
Jelasnya, pemilihan akhir calon hanya akan diputuskan oleh jawatankuasa yang akan dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria.
"Ada beberapa cadangan (diusulkan), mereka semua adalah bekas pemenang pingat emas di peringkat Sukan SEA.
"Ada juga seorang dua atlet yang pernah bertanding bukan sahaj dalam Sukan SEA, malah di peringkat seperti Sukan Komanwel.
"Kami akan adakan satu jawatankuasa kecil yang dipengerusi Norza sendiri untuk tentukan calonnya," katanya.
Untuk rekod, Dalam Sukan SEA 2021 penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, diberikan amanah sebagai Pembawa Jalur Gemilang sementara atlet boling tenpin negara, Rafiq Ismail, memikul tugas sama ketika edisi 2019.
Dalam perkembangan sama, Nasir memberi bayangan sasaran pingat untuk temasya edisi kali ke-32 ini adalah lebih baik berbanding sebelum ini.
Tegasnya, sasaran rasmi yang akan diumumkan pada 30 April depan adalah realistik dan mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa setiap persatuan sukan kebangsaan.
"Kami juga ambil maklum juga bahawa dalam Sukan SEA di Kemboja ini, kita kehilangan kira-kira 15 medal sebelum pertandingan.
"Beberapa sukan seperti bina badan, memanah dan menembak tidak dipertandingkan.
"Di samping itu, ada sukan dipertandingkan tapi dihadkan. Daripada 10 acara cuma lima diadakan. (Contohnya) gimnastik ada tapi gimrama tiada.
"Kami mengharpakan atlet muda, di bawah 23 tahun yang menyertai (temasya ini) buat kali pertama mampu kejutan.
"Mungkin renang boleh menampung kekurangan pingat," katanya dalam sidang media", katanya lagi.