Sukan SEA Kemboja: Mukhairi Ajmal yakin skuad negara mampu ke final
Astro Arena
April 28, 2023 00:10 MYT
April 28, 2023 00:10 MYT
Tonggak tengah skuad B-22 negara, Mukhairi Ajmal Mahadi, yakin pasukan bimbingan E. Elavarasan itu mampu menepati sasaran untuk layak ke final acara bola sepak Sukan SEA Kemboja bulan depan.
Mukhairi Ajmal sebelum ini terlepas saingan Piala Merlion di Singapura bulan lalu berikutan masalah kesihatan.
Biarpun mengalami penurunan berat badan dan terlepas peluang mencatat namanya dalam sejarah sewaktu rakan sepasukannya bergelar juara di Singapura, pemain Selangor FC itu bertekad untuk memberikan aksi terbaiknya selaku perancang utama dalam membawa Harimau Muda bersaing merebut ibu segala pingat berkenaan.
Mengulas mengenai persiapan menjelang temasya dwitahunan itu, dia berkata kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom: "Kami berharap dapat bersama selepas sambutan hari raya ini dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat.
"Sebelum ini, mereka sudah bersaing dalam Piala Merlion, jadi saya berharap mereka sudah faham dengan taktikal jurulatih Elavarasan dan harap kesemua pemain sudah bersedia bagi Sukan SEA nanti.
"Alhamdulillah, saya sudah sihat. Sewaktu itu (saingan Piala Merlion), saya mengalami keracunan makanan sehingga berat badan saya menurun sebanyak empat kilogram.
"Saya bergelut sepanjang minggu, air dalam badan sudah tiada, memang saya jadi amat kurus dan selepas itu, Alhamdulillah, saya sudah mula sihat dan sudah dapat beraksi selama 90 minit.
"Saya harap dapat kekalkan momentum ini dalam Sukan SEA nanti," katanya.
Malaysia diundi dalam kumpulan maut bersama juara bertahan, Vietnam, selain Thailand, Singapura dan Laos.
Mengulas mengenai perkara itu, Mukhairi Ajmal menambah: "Saya rasa dalam Sukan SEA edisi lalu, purata umur skuad kita adalah di bawah 21 tahun, jadi saya rasa kombinasi setiap pemain sudah memahami sesama sendiri.
"Saya tidak melihat kepada pasukan lawan dan saya hanya melihat kepada pasukan saya. Kami perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan pingat emas tahun ini, itulah yang saya harapkan.
"Insya-Allah, saya yakin dengan pasukan ini dan saya berharap dapat berkerjasama dengan semua pemain kerana itulah yang paling penting dalam sesebuah pasukan," katanya lagi.