Sukan SEA Kemboja medan dedah atlet muda - Hannah
Bernama
Mei 2, 2023 12:28 MYT
Mei 2, 2023 12:28 MYT
PUTRAJAYA: Objektif utama kontinjen Malaysia bagi temasya Sukan SEA di Kemboja pada kali ini adalah untuk memberi pendedahan kepada atlet muda dan pelapis.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat muda untuk beraksi di peringkat lebih tinggi selepas ini.
"Fokus Sukan SEA adalah untuk pembangunan dan persaudaraan. Jadi kita beri pendedahan kepada atlet muda dan pelapis supaya dalam Sukan Asia dan Olimpik ada barisan pelapis dan atlet muda yang berpengalaman," katanya pada sidang media pemberian bantuan dan peruntukan di bawah kementeriannya di sini hari ini.
Hannah juga yakin bahawa sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa yang diumumkan beliau pada Ahad lepas, adalah data yang realistik dan mampu dicapai.
Dengan para atlet dan pegawai sudah mula bertolak secara berfasa ke Phnom Penh, beliau berkata fokus untuk beberapa hari ini adalah untuk mengenal pasti dan menyelesaikan beberapa isu logistik yang mungkin bakal dihadapi.
Malaysia yang diwakili oleh 676 atlet, dengan 440 atlet (65 peratus) daripadanya membuat penampilan kali pertama di temasya dwitahunan itu, akan menyertai 34 daripada 36 jenis sukan yang dipertandingkan.
Sukan SEA 2023 dijadualkan berlangsung secara rasminya bermula 5-17 Mei, namun beberapa acara sudah mula dipertandingkan.
Sementara itu, Hannah turut mengumumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan 32 permohonan melibatkan dana RM880,050 peruntukan bagi program berkaitan sukan dan belia sejak awal tahun hingga hari ini.
Beliau juga telah memperkenalkan ruangan khusus di portal KBS, www.kbs.gov.my, untuk memudahkan permohonan dana kementerian tersebut, yang turut memaparkan senarai penerima dana.
"Senarai kelulusan penerima bantuan akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi rujukan dan semakan oleh orang ramai terutamanya dalam kalangan pihak berkepentingan belia dan sukan. Sekiranya mana-mana badan yang menerima peruntukan tidak menjalankan aktiviti berkenaan, ia boleh dilaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
"Amalan tadbir urus dan tata kelola yang telus, tertib dan teratur adalah komitmen dan keutamaan KBS, terutamanya melibatkan pemberian bantuan, termasuk hebahan mengenai penerima bantuan," katanya.
Semakan di laman sesawang mendapati Persatuan Footgolf Malaysia serta Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM) adalah penerima dana tertinggi dengan masing-masing mendapat RM100,000.
-- BERNAMA